Zaquan Adha Mahu Pasukan Langsai Dulu Tunggakan

Berikutan isu pemotongan gaji oleh pemain di Liga Malaysia, pemain penyerang Kedah FA, Zaquan Adha Abdul Razak berharap pasukan yang berniat melakukan demikian diharap dapat melangsaikan terlebih dahulu tunggakan sebelum berhajat melakukan rundingan ke arah itu.

Sebelum ini PFAM telah meletakkan dua syarat penting untuk persatuan meneruskan niat melakukan pemotongan gaji pemain. Salah satu daripadanya adalah dengan melangsaikan terlebih dahulu semua tunggakan.

Penangguhan saingan Liga Malaysia selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum ini dikatakan sebagai punca utama kantung pasukan-pasukan bersaing semakin tenat.

Langkah pemotongan gaji pemain dilihat sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan kewangan persatuan dan kelab.

Tatkala rata-rata pemain tidak mempunyai masalah untuk pemotongan dilakukan, PFAM mahukan agar tunggakan gaji pada bulan-bulan sebelum PKP dilaksanakan dilangsaikan terlebih dahulu sebagai jaminan kebajikan pemain terbela.

“Kalau jalan terakhir adalah memotong gaji pemain, saya rasa tiada masalah,” ujar Zaquan kepada Stadium Astro sebelum ini.

“Tetapi kena berdasarkan apa yang sepatutnya pihak pengurusan [lakukan], iaitu bayar baki gaji sebelum ini. Ia lebih adil buat pemain.

“Ada pasukan yang belum membayar gaji sejak Januari lalu lagi. Apabila penularan wabak melanda, gaji pemain dipotong lagi,” jelas Zaquan.

Beberapa hari lalu Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang merupakan pemilik JDT membidas tindakan beberapa kelab yang culas melunaskan tunggakan gaji, tetapi beria-ia mahu memotong gaji pemain, yang baginda sifatkan sebagai tidak adil.

 

Kongsi artikel ini