“Yang Mana Faham Je Tahu” – Faisal Halim

Pelbagai kecaman diterima oleh pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim berkaitan insiden membabitkan dirinya dengan penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa.

Dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC yang berkesudahan dengan kemenangan 2-1 kepada Terengganu FC di saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam tadi, penjaga gol yang berasal dari Mali itu kelihatan tidak berpuas hati dan cuba bersemuka dengan Faisal sejurus selepas pemain itu menyempurnakan sepakan penalti.

Insiden minit ke-80 perlawanan itu dipercayai berpunca daripada tindakan Faisal melakukan ‘copy paste’ aksi menyelamat Samassa yang gagal dilakukannya.

Rata-rata peminat bola sepak tempatan menyalahkan tindakan Faisal itu yang bersifat provokasi, dan tidak sepatunya dilakukan oleh beliau kerana berstatus pemain kebangsaan.

Faisal Halim akhirnya bersuara

Enggan mengulas panjang insiden tersebut, pemain sayap pasukan negara itu bagaimana pun tampil dengan satu kenyataan yang menimbulkan tanda tanya.

Sebentar tadi, Faisal sempat berkongsi video insiden tersebut di IG Story beliau dengan mesej: “Yang mana faham je tahu.”

Sukar untuk menterjemahkan apakah yang dimaksudkan oleh Faisal melalui mesej tersebut. Sebelum ini segelintir peminat bola sepak tempatan turut mengandaikan pemain berjersi No.7 itu turut diprovokasi oleh Samassa sebelum sepakan kedua oleh pemain itu yang berjaya disempurnakan.

Tidak dinafikan sebelum sepakan tersebut diambil, kedua-dua pemain kelihatan bertikam lidah di hadapan pengadil, namun butiran perbualan kedua-dua pemain  tidak dapat dikenal pasti.

Faisal terpaksa mengulang kembali sepakannya selepas sepakan pertama yang diselamatkan Samassa dibatalkan pengadil, selepas tindakan penjaga gol Sri Pahang itu jelas keluar terlebih dahulu dari garisan gol sebelum sepakan diambil

Walaupun sedar Samassa memiliki ketinggian fizikal sebagai kelebihan, Faisal tetap merembat tinggi peluang kedua yang dimilikinya melalui sepakan penalti tersebut untuk gol kedua Terengganu FC.

Ini bukan kali pertama Faisal Halim terpalit dengan kontroversi membabitkan rasa tidak puas hati pemain lawan.

Semua sedia maklum mengenai insiden melibatkan Faisal dengan Syazwan Zainon dan Safiq Rahim sebelum ini.

Insiden sebegini dianggap tidak diperlukan di dalam bola sepak dan hanya memberikan imej tidak baik kepada bola sepak negara.

Kongsi artikel ini