World Athletics Senaraikan Azeem Fahmi β€˜Top 3’ Atlet Generasi Baharu Dari Asia Yang Perlu Diberikan Tumpuan

Memecah rekod kebangsaan 10.09 saat, sebelum menamatkan acara larian 100 meter di kedudukan kelima dengan catatan 10.14 saat, nama Muhammad Azeem Fahmi bukan sahaja menjadi sebutan di kalangan peminat sukan tanah air dan rakyat Malaysia.

Malah pencapaian atlet muda itu di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang sedang berlangsung di Cali, Colombia itu turut menarik perhatian World Athletics – badan dunia yang bertanggungjawab mempromosikan semua cabang sukan olahraga di seluruh dunia, termasuk dari segi peraturan dan keperluan teknikal.

Buat masa ini, kejohanan di Cali menyaksikan pelari dari benua Afrika masih lagi menguasai acara 100 meter apabila Letsile Tebogo memenangi emas, dan Benjamin Richardson memenangi gangsa.

Tetapi tiga kedudukan selepas itu adalah dari Asia – Puripol Boonson dari Thailand di kedudukan keempat dengan catatan 10.12, Muhd Azeem Fahmi dari Malaysia kelima dengan10.14 dan pelari Jepun Hiroki Yanagita menduduki tangga keenam dengan catatan masa 10.24.

Walaupun tidak memenangi sebarang pingat di acara 100 meter, tiga pelari dari Asia yang berada di kedudukan selepas itu memberi pertanda perkembangan atlet dari benua ini tidak boleh dipandang ringan.

Melalui sebuah artikel yang disiarkan baru-baru ini, World Athletics berpendapat acara pecut dunia kini telah bertukar arus dan atlet benua Asia kini harus menjadi tumpuan untuk bersandarkan kebangkitan dan prestasi yang ditampilkan beberapa pelari.

Puripol Boonson terutamanya dianggap paling menyerlah kerana baru berusia 16 tahun. Walaupun masih muda, pelari ini dianggap begitu matang dalam menyusun kariernya untuk pergi lebih jauh di dalam karier olahraga.

Bagi Azeem, Kejohanan Olahraga Remaja Dunia adalah penampilan terbaiknya setakat ini. Sepanjang tiga larian di Cali, Azeem melakukan tiga larian di bawah catatan masa 10.20 saat.

Bekas murid SMK Gunung Rapat itu dikhabarkan akan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk membenarkannya mendapat latihan daripada pakar dan bekas jaguh olimpik, Carl Lewis.

Yanagita pula adalah pelajar Universiti Toyo di Jepun dan diasuh sendiri oleh Hiroyasu Tsuchie. Merupakan pelajar aliran sastera, dan turut membantu kuartet 4x100m Jepun memenangi emas di Cali.

Kongsi artikel ini