“What’s Up Thailand” – Liridon Krasniqi Diumumkan Sebagai Pemain Baharu Khon Kaen United

Liridon Krasniqi akhirnya diumumkan akan menyertai Khon Kaen United untuk musim baharu Liga 1 Thailand yang akan bermula beberapa hari lagi.

Perkara itu disahkan sendiri oleh kelab tersebut melalui satu muat naik di halaman Facebook rasmi kelab itu beberapa jam yang lalu.

📑🖊 𝗢𝗙𝗙𝗜𝗖𝗜𝗔𝗟 𝐍𝐞𝐰 𝐒𝐢𝐠𝐧𝐢𝐧𝐠 คนสุดท้ายก่อนตลาดปิด
จงอางผยอง คว้าตัว “ลิริดอน คราสนิกี” Liridon Krasniqi กองกลางเชิงสูง…

Posted by KHON KAEN UNITED on Tuesday, August 9, 2022

Melalui perkongsian di IG Story pula, Liridon menyifatkan perpindahan tersebut sebagai lembaran baharu di dalam kariernya.

“Lembaran baharu. Apa khabar Thailand? Mat Don datang membawa ombak besar dan anda harus bersedia. Keluarga besar baharu @khonkaenunitedofficial,” tulis beliau ringkas.

Liridon turut tidak ketinggalan memberikan penghargaan kepada ejen beliau, Kiko Insa yang merealisasikan perpindahan tersebut.

Pemain naturalisasi negara itu sebelum ini tanpa sebarang kelab selepas dilepaskan oleh Odisha FC. Masih memiliki kontrak bersama JDT, perpindahan Liridon ke Khon Kaen United adalah atas dasar pinjaman – sepertimana dua kelab terdahulu yang disertai oleh pemain itu.

Mendapat jolokan ‘The King Cobras’, kelab Thailand itu dibimbing oleh jurulatih dari Brazil, Carlos Eduardo Pereira. Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kelab, Liridon disahkan sebagai pemain terakhir yang dibawa masuk sebelum jendela perpindahan di Thailand ditutup.

Pada musim lalu, Khon Kaen United menamatkan saingan Liga Thai di kedudukan ke-10 dan sudah pasti dengan kehadiran Liridon kelab itu mengimpikan untuk memperbaiki kedudukan tersebut pada musim ini.

Ibarat seperti mendapat nafas baharu, Liridon juga sudah pasti mempunyai banyak perkara untuk dibuktikan bersama kelab baharunya ini, terutama untuk mendapat panggilan semula menyertai skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon setelah digugurkan untuk skuad kelayakan Piala Asia sebelum ini.

Kongsi artikel ini