Watford Selayaknya Juara EPL 2019/20 Jika Teori Enrique Cerezo Diaplikasikan

Bayangkan Watford tiba-tiba dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris pada musim ini. Apa akan berlaku kepada dunia bola sepak?

Rasanya sudah tidak ada siapa pun yang membantah Liverpool selayaknya bergelar juara Liga Perdana Inggeris pada musim ini – walaupun jika baki saingan pada musim ini gagal diteruskan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp beraksi cemerlang dalam saingan domestik pada musim ini mengumpul 82 mata hasil daripada 27 kemenangan dan 1 seri daripada 29 perlawanan yang dilalui setakat ini.

Kedudukan tersebut membenarkan juara eropah itu memiliki kelebihan 25 mata berbanding Manchester City yang menduduki kedudukan kedua liga, dengan baki 9 perlawanan lagi perlu dilalui.

Secara matematik, Liverpool kini hanya memerlukan enam mata, atau pun dua kemenangan lagi apabila saingan kembali bermula pada minggu hadapan untuk mengesahkan kejuaraan pertama liga dalam tempoh 30 tahun.

Kedudukan Atletico Madrid

Semua orang tahu bagaimana Atletico beraksi cemerlang dalam dua perlawanan timbal balik untuk menafikan kemaraan Liverpool di pertandingan Champions League pada musim ini.

Namun situasi di pertandingan liga domestik adalah sebaliknya bagi Atletico Madrid jika dibandingkan dengan Liverpool. Kelab Madrid itu kini menduduki tangga keenam di saingan La Liga dengan 46 mata selepas 28 perlawanan.

Terbaru, skuad kendalian Diego Simone ini diikat 1-1 oleh Atletico Bilbao. Keputusan tersebut menjadikan Atletico Madrid ketinggalan 15 mata berbanding pendahulu, Barcelona.

Dalam situasi ini, sukar membayangkan Atletico Madrid mampu bersaing dengan Barcelona untuk kejuaraan domestik.

Malah kedudukan Atletico Madrid untuk mara ke pertandingan Champions League pada musim hadapan turut tergugat, walaupun peluang masih lagi terbuka.

Teori Enrique Cerezo

Enrique Cerezo adalah Presiden Atletico Madrid. Lupakan dulu perebutan slot ke Champions League pada musim ini.

Presiden Atletico Madrid itu berpendapat Atletico Madrid sepatutnya diberikan gelaran juara Eropah pada musim ini jika pertandingan tersebut tidak dapat diteruskan.

Atas dasar apa Enrique Cerezo memberikan hipotesis sedemikian rupa? Berikut adalah kenyataan beliau ketika bercakap kepada akhbar Mundo Deportivo baru-baru ini:

“Secara hipotetikal sekiranya Champions League tidak dapat diteruskan lagi pada musim ini (akibat penularan wabak dan jadual padat domestik), kejuaraan sepatutnya diberikan kepada pasukan yang menyingkirkan juara lalu.

“Masih ada beberapa perlawanan kalah mati yang perlu dimainkan. Pusingan suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir. Kami difahamkan UEFA sedang berusaha menjayakan semua perlawanan di satu tempat, di sebuah bandar.

“Ada yang berkata ia akan diadakan di Sepanyol, Portuga,…tetapi tidak ada apa yang pasti setakat ini.

“Masih ada 11 perlawanan semuanya termasuk peringkat akhir perlu dilalui di pertandingan Champions League. Saya cuma membayangkan bagaimana setiap kerajaan melihat perkembangan semasa penularan, dan akan membuat beberapa keputusan selepas itu.”

Berdasarkan kenyataan tersebut, Enrique Cerezo berkata jika saingan Champions League gagal diteruskan sehingga habus, maka kejuaraan harus diberikan kepada pasukan yang menyingkirkan juara bertahan, iaitu pasukannya sendiri!

Watford dan bukan Liverpool dinobatkan juara?

Cerezo mungkin mempunyai hujah beliau tersendiri di dalam perkara ini. Namun bagaimana jika teori ini turut diaplikasikan di dalam saingan Liga Perdana Inggeris?

Untuk rekod, satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Liverpool pada musim ini adalah Watford pada 1 Mac lalu dengan jaringan 3-0.

Namun pertemuan pertama membabitkan kedua-dua pasukan menyaksikan Liverpool menang 2-0 di Anfield pada 14 Disember tahun lalu.

Jika kiraan agregat mahu diambil kira, ia masih memihak kepada Watford dengan agregat 3-2.

Untuk rekod, Watford kini menduduki tangga ke-17 saingan EPL dan sedang bergelut untuk mengelakkan diri dari tersingkir ke saingan Championship pada musim hadapan.

Rumusan

Teori Cerezo jelas tidak boleh dilaksanakan di dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan tidak mempunyai asas untuk diaplikasikan sama sekali.

Walaupun hujah beliau mempunyai point tersendiri untuk saingan Champions League, ia juga masih tidak relevan dengan lapan pasukan keseluruhan masih berpeluang untuk bergelar juara.

Andai kata saingan Champions League tidak boleh diteruskan lagi pada musim ini, pada pendapat kami seeloknya ia dibatalkan sahaja untuk memberi ruang kelab-kelab di Eropah menumpukan fokus melengkapkan pertandingan domestik pada musim ini.

Jika perkara itu berlaku, Liverpool kekal sebagai juara bertahan Champions League pada saingan baru akan datang. Ia kedengaran lebih adil untuk semua pihak jika begini.

Kongsi artikel ini