Walaupun Baru Lakukan 1 Penampilan, Al Nassr Sedia Tawarkan Kontrak Baharu Kepada Ronaldo

Walaupun baru melakukan satu penampilan kompetitif pada 23 Januari lalu, Al Nassr dilaporkan bersedia untuk menawarkan kontrak baharu untuk bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo sebelum ini dikatakan menerima kontrak mewah bersama Al Nassr dengan gaji pemain itu sahaja dilaporkan mencecah  173 juta pound (RM761.3 juta) setahun.

Kontrak asal pemain itu berdurasi dua tahun setengah dan hanya akan tamat pada 2025.

Perpindahan Ronaldo ke Al Nassr pada Disember tahun lalu telah menarik perhatian banyak pihak. Pelbagai respon diberikan terhadap pilihan Ronaldo beraksi di Asia dengan gaji baharunya turut menjadi antara topik utama perbualan.

Sebelum ini Ronaldo hanya beraksi dengan kelab-kelab elit di Eropah seperti Manchester United, Real Madrid dan Juventus.

Bagaimanapun penampilan pertama Ronaldo bersama kelab Arab Saudi itu sebelum ini tertunda disebabkan hukuman pergantungan yang dikenakan kepadanya oleh The FA – kerana insiden melibatkan penyokong di Premier League.

Setelah tampil dalam perlawanan persahabatan bersama Riyadh All Star menentang PSG, Ronaldo akhirnya melakukan debut bersama Al Ittifaq di Liga Arab Saudi pada Isnin lalu.

Walaupun tidak mencetak nama sebagai penjaring di perlawanan kompetitif pertamanya, kapten Portugal itu masih berjaya membawa Al Nassr mencipta kemenangan 1-0 ke atas Al Ittifaq.

Terbaru, pihak pengurusan Al Nassr dilaporkan bersedia untuk menawarkan kontrak baharu kepada Ronaldo yang dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dunia itu.

Menurut laporan daripada ESPN, Al Nassr dikatakan mahu Ronaldo terus beraksi bersama kelab itu walaupun selepas kontraknya tamat pada 2025.

Ini bermakna jika mengikut perkiraan, Ronaldo yang kini berusia 37 tahun akan terus beraksi melangkaui usia 40 tahun sekiranya ianya berlaku.

Langkah terus mengikat Ronaldo melangkaui tahun 2025 sememangnya ada asasnya mengambil kira nama dan jenama yang dibawa oleh nama Cristiano Ronaldo itu sendiri.

Pengalaman CR7 yang pernah membawa banyak kejuaraan di peringkat kelab bersama Manchester United, Real Madrid dan Juventus dianggap penting bagi perkembangan Al Nassri di dalam dan di luar padang, khususnya untuk mengejar impian menjadi salah sebuah kuasa besar bola sepak di rantau Asia.

Kongsi artikel ini