Wai Yik Kenang Kembali Kata-Kata Ahsan-Hendra 4 Tahun Yang Lalu, Sebelum ‘Rematch’ Dan Jadi Juara Dunia

Soh Wai Yik yang tiba di tanah air bersama rakan gandingannya, Aaron Chia disambut dengan meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.30 pagi tadi, menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ106.

Turut bersama menyambut ketibaan dua wira badminton negara itu adalah  Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, pegawai-pegawai daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan peminat badminton negara.

Gandingan Aaron-Wai Yik muncul juara dan di Kejohanan Badminton Dunia BWF yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada minggu lalu selepas menewaskan pasangan No.3 dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Darah badminton di dalam Wai Yik

Soh Wai Yik bersama gandingannya Aaron Chia kini bergelar juara dunia yang baharu. Tetapi ini tidak bermakna pemain badminton negara untuk acara beregu itu sudah lupa bagaimana perjalanan mereka sejak dari mula sehingga berjaya mencipta kejayaan pada hari ini.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bagaimana badminton sememangnya berada di dalam darah Wai Yik sejak beliau dilahirkan pada 17 Februari 1998.

Ayahnya, Soh Goon Chup merupakan bekas pemain perseorangan negara. Dan seorang lagi bekas pemain beregu negara yang dianggap legenda pada hari ini, Soo Beng Kiang pula adalah bapa saudara kepada Wooi Yik.

Maka tidak hairanlah mengapa Wooi Yik sudah memegang raket sejak berusia 4 tahun lagi, dengan tekad untuk mengikut jejak langkah ayah dan bapa saudaranya itu.

Gandingan beliau bersama Aaron Chia pula bermula sejak 2015 lagi, namun ia hanya langkah sementara sebelum kedua-duanya kembali beraksi bersama pada 2017.

Pada 2018, beregu Aaron-Wooi Yik mulai membuatkan kehadiran mereka dirasai apabila mara ke perlawanan akhit Terbuka Vietnam, namun pada ketika itu masih gagal untuk memenangi kejuaraan pertama mereka.

Walaupun selepas beberapa tahun berkecimpung di dalam dunia badminton, gandingan Aaron-Wooi Yik sering kali dianggap gagal mencapai potensi sebenar kerana kejayaan akhirnya tetap diukur dengan jumlah kejuaraan yang mereka mampu capai.

Tidak pernah putus asa

Aaron-Wooi Yik turut menyertai All England pada 2019, tetapi tewas kepada gandingan Ahsan-Hendra di perlawanan akhir. Ia adalah penampilan pertama beregu tanah air itu di kejohanan berprestij dunia badminton itu.

Pada ketika itu, Wooi Yik sedar untuk mara ke final tanpa memenanginya adalah tidak cukup. Untuk menjadi terbaik, anda juga perlu belajar daripada yang terbaik.

Gandingan Ahsan-Hendra sememangnya gandingan yang tidak asing bagi Wooi Yik. Mohammad Ahsan terutamanya, adalah idola kepada Wooi Yik sejak usia remaja lagi.

Ahsan-Hendra adalah 10 tahun lebih senior daripada Wooi Yik, dan corak permaiananregu Indonesia yang telah memenangi pelbagai kejuaraan itu sememangnya antara yang paling diminatinya.

Saat tewas kepada Ahsan-Hendra di final All England 2019, Wooi Yik hanya berusia 19 tahun. Peluang berhadapan idolanya itu pasti sesuatu yang mengujakan. Dan ia tidak berhenti di situ.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Soh Wooi Yik 苏伟译 (@sohwooiyik)

Selepas menewaskan Ahsan-Hendra di Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, Wooi Yik mengulit kembali kenangan bagaimana beliau memberanikan diri untuk datang kepada Ahsan demi mendapatkan secebis nasihat untuk menjadi seorang pemain badminton yang berjaya.

“Saya masih ingat apabila kami tewas di penampilan pertama kami di All England di acara final menentang idola saya. Saya kemudiannya datang kepada mereka dan bertanya, bagaimana untuk menjadi pemain yang berjaya.

“Mereka memberitahu saya untuk terus bekerja keras, dan juga untuk terus memiliki kerendahan hati.

“Ia hanya beberapa cebis patah perkataan, tetapi ia tetap menjadi pendorong utama saya,” tulis Wooi Yik.

Perkongsian tersebut dimuat naik oleh Wooi Yik di akaun Instagram peribadinya baru-baru ini.

Wooi Yik turut memuat naik tiga foto dirinya bersama dengan Mohamad Ahsan ketika acara penerimaan medal. Kerana itu, final Kejohanan Badiminton Dunia baru-baru ini ibarat rematch All England 2019. Bezanya, kini pemenangnya berbeza.

Kata-kata nasihat oleh Ahsan-Hendra juga sememangnya amat benar. Jika tidak, mustahil kedua-duanya mampu tampil selama ini sebagai antara jaguh badminton beregu dunia.

Dengan kerendahan hati dan semangat yang tinggi, anda akan mampu mencapai apa pun kejayaan. Tinggi diri dan bongkak, perjalanan itu pasti menjadi singkat. Renung-renungkanlah.

Kongsi artikel ini