Viking Clap & Sehelai Baju Hadiah Dari Penyokong Harimau Malaya Satu Penghormatan Untuk Kim Pan-gon

Sejarah tercipta untuk skuad bolasepak Harimau Malaya apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023 secara merit selepas 43 tahun menunggu untuk direalisasikan setelah menewaskan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia merupakan detik yang indah untuk penyokong Harimau Malaya dan sudah pasti perasaan bercampur baur sedih dan gembira hingga ada yang mengalirkan air mata melihat anak buah Kim Pan-gon bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan ini.

Penyokong juga enggan berganjak dari tempat duduk meskipun perlawanan sudah tamat lebih setengah jam kerana mereka ingin meraikan hari bersejarah bersama pemain Harimau Malaya.

Nyanyian daripada Ultras Malaya atau digelar ‘ekor harimau’ yang menggamatkan SNBJ yang berpuas hati dengan segala penat lelah dan pengorbanan mereka terbayar.

Pada malam tadi Ultras Malaya bersama Kim Pan-gon dan anak buahnya melakukan “Viking Clap” sebagai penghargaan kepada skuad kebangsaan dan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh jiwa.

Ia satu momen yang tidak dapat diungkapkan baik penyokong menonton di televisyen apatah lagi mereka yang berada dalam stadium. Semua penyokong bersatu hati dari berbilang bangsa dan agama berdiri tegak pada ketika itu.

Pengendali skuad kebangsaan ini turut dihadiahkan baju yang bertulis “Dari Korea untuk Malaysia penyokong Harimau  tamat perlawanan malam tadi.

Ia membawa pengertian yang sangat besar dan mempunyai maksud tersirat yang menggambarkan perubahan Harimau Malaya dibawa jurulatih dari Korea Selatan itu.

Kehadiran Pan-gon awal tahun ini menyaksikan banyak perubahan dibawa beliau termasuklah mengubah corak permainan pasukan negara.

Kesetiaan penyokong Harimau Malaya tidak boleh diragui lagi kerana mereka tetap tampil ke stadium memberikan sokongan walaupun hari ini bukanlah cuti hujung minggu atau umum.

Ia hadiah untuk semua rakyat Malaysia setelah bolasepak tempatan melalui kemerosotan prestasi pada sebelum ini di mana skuad kebangsaan gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020 tewas 1-4 kepada Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Singapura hujung tahun lalu.

Kim Pan-gon akan dikenang sebagai jurulatih yang menghapuskan sumpahan bolasepak Malaysia untuk pergi ke saingan yang lebih tinggi lagi.

“Kam-sa-ham-mi-da” Kim Pan-gon
Terima kasih Kim Pan-gon

Kongsi artikel ini