Vietnam Menggerunkan, Belasah Singapura 4-0 Dengan Hanya Majoriti Pemain Muda

Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo mengakui belum menggunakan kekuatan sebenar pasukan yang dimilikinya saat menewaskan Singapura 4-0 di Kejohanan Antarabangsa Hung Thinh pada malam tadi.

Beraksi di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, Vietnam menurunkan kebanyakkannya pemain muda daripada skuad B-23 negara itu.

Bahkan dua daripada empat jaringan Vietnam ke gawang Singapura turut terhasil daripada pemain muda Nguyen Thanh Nhan dan Khuat Van Khang. Sementara dua lagi jaringan disumbangkan Nguyen Van Quyet dan Ho Tan Tai.

Secara keseluruhan, Park Hang-seo mengerahkan 10 pemain daripada skuad B-23 negara itu di dalam perlawanan tersebut. Enam daripada mereka beraksi lebih daripada 45 minit dalam perlawanan yang didominasi sepenuhnya oleh Vietnam.

Pada masa yang sama, Park Hang-seo turut bertanggapan Singapura belum menurunkan barisan terkuatnya walaupun turut membariskan pemain naturalisasi baharu, Joshua Pereira dan adik beradik Fandi.

Jurulatih dari Korea Selatan itu berpendapat kekuatan sebenar Singapura pasti dapat dilihat di Kejohanan Piala AFF 2022 pada Disember nanti.

“Baik Vietnam atau Singapura, kedua-dua pasukan boleh tampil di Piala AFF 2022 dengan bentuk baru. Bahkan kami dan Vietnam pun sama. Sebagai jurulatih, semua pasukan takut mengeluarkan barisan terbaik,” kata Park Hang -seo.

“Mungkin juga masih ada pemain mereka yang tidak dibawa bersama atau hanya masuk sebagai pemain gantian. Apapun situasinya, kami juga punya staff yang akan menganalisis dan menkaji lawan, jadi kami mampu bersiap dengan baik untuk Piala AFF 2022,” sambung Hang Seo.

Park Hang-Seo turut mengaku berpuas hari dengan prestasi yang ditampilkan para pemain muda bersama skuad kebangsaan Vietnam setakat ini.

“Di pertandingan ini banyak pemain muda dan tidak berpengalaman yang tampil untuk kali pertama bersama pasukan negara. Yang terpenting bagi saya, ini adalah kesempatan menilai kemampuan dan sikap semua pemain. Sasaran kami tercapai kerana berjaya menang 4-0,” ujar Hang Seo.

Vietnam selanjutnya akan berhadapan India pada 27 September mendatang.

Di Kejohanan Piala AFF 2022 yang akan bermula pada Disember nanti, Vietnam diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Singapura, Malaysia, Laos dan juga Myanmar.

Kongsi artikel ini