VIDEO: VAR Jadikan Emosi Mourinho Tidak Stabil

Jose Mourinho adalah pengurus yang sentiasa beremosi. Tidak salah jika kita menyifatkan beliau sebagai salah seorang pengurus paling beremosi di England pada hari ini.

Tanpa mengira kelab yang diwakili, sama ada bersama Chelsea, Manchester United dan kini Tottenham Hotspur, pengendali dari Portugal ini tidak pernah sunyi dari wajah emosi di dalam dan luar padang.

Tidak teragak-agak untuk meluahkan apa yang beliau rasa, adakalanya Mourinho akan menyatakan sesuatu yang sukar difahami melalui sidang media.

Ketika perlawanan berlangsung, pengurus dari Portugal ini turut tidak teragak-agak menunjukkannya ketika berada di kawasan teknikal padang.

Ada yang menyifatkan Mourinho sebagai pengurus yang tidak mempunyai emosi yang stabil. Beliau boleh ketawa riang sebelum tiba-tiba meradang hanya kerana satu soalan dari wartawan.

Begitu juga ketika perlawanan sedang berlangsung seperti ketika Tottenham Hotspur menewaskan Manchester City 2-0 pada hujung minggu lalu.

Kali ini VAR memainkan peranan. Perlawanan pada babak pertama dibayangi oleh kontroversi. Ia bukan perkara menghairankan.

VAR dan kontroversi tidak pernah lekang dari Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Tetapi kali ini VAR seolah-olah mahu membuktikan bahawa Mourinho merupakan pengurus yang mempunyai emosi paling tidak stabil di EPL.

Ini sebabnya untuk kenyataan di atas.

Ia bermula apabila Manchester City diberikan sepakan penalti oleh VAR selepas Sergio Aguero dijauhkan oleh Serge Aurier.

Keputusan itu ditertawakan oleh Mourinho dengan sinis.

Sepakan penalti yang diambil oleh Ilkay Gundogan bagaimanapu n diselamatkan oleh Hugo Lloris untuk melegakan Mourinho yang kembali ke tempat duduk sambil ketawa.

Walaupun selepas Spurs terselamat daripada penalti Gundogan, City berkemungkinan diberikan satu lagi penalti kerana Raheem Sterling dikasari selepas itu.

Mike Dean yang mengadili perlawanan ini telah memberikan kad kuning pertama lebih awal untuk pemain sayap Man City itu selepas kekasaran ke atas Dele Alli.

Malah ada yang berpendapat, ia sepatutnya kesalahan yang menjurus kepada ‘straight red’.

Sterling kemudian bersalah kerana melakukan simulasi untuk mendapatkan satu lagi penalti, selepas Lloris menafikan penalti Ilkay Gundongan.

Mourinho meminta penjelasan daripada pegawai perlawanan, Kevin Friend selaku pegawai yang bertugas di bilik VAR.

“Hanya [VAR] dan Kevin Friend sahaja boleh menjelaskan mengapa ia bukan kad merah [untuk Raheem Sterling],” kata Mourinho kepada wartawan.

“Beliau mempunyai peluang untuk menonton kembali ulang tayang insiden itu. Keputusan sebegitu mampu mempengaruhi permainan.”

Mourinho menyifatkan Mike Dean telah melakukan tugasannya dengan baik selaku pengadil utama.

Cuma masalahnya kali ini adalah pada VAR. Teknologi tersebut sentiasa didedatkan sejak diperkenalkan di EPL pada musim ini.

Setidak-tidaknya ia menampilkan betapa emosi dan sungguhnya Mourinho mengenai bola sepak.

Kongsi artikel ini