VIDEO: Ucapan Penuh Emosi Bambang Pamungkas Ucap Selamat Tinggal Kepada Persija

Legenda bola sepak Indonesia yang turut pernah beraksi bersama Selangor, Bambang Pamungkas akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak.

Lebih dikenali sebagai Bebe, penyerang itu memegang rekod sebagai pemain paling banyak menjaringkan gol di pentas antarabangsa buat Indonesia dengan 38 jaringan dari 86 penampilan antarabangsa.

Bambang pernah menyertai Persija Jakarta sebanyak empat kali untuk tampil dalam lebih 350 perlawanan. Beliau turut pernah beraksi bersama EHC Norad di Belanda pada 2000, dan Selangor pada 2005 sehingga 2007.

Sebelum kembali bersama Persija, Bambang turut pernah menyarung jersi Pelita Bandung Raya pada musim 2013-2014.

Dalam perlawanan terakhir beliau di hadapan penyokong Persija, Bambang dimasukkan sebagai pemain gantian untuk Sandi Sute pada minit ke-76 perlawanan.

Namun demikian beliau gagal membantu Persija mengelakkan kekalahan 2-1 kepada Persejaya yang terlebih dahulu memperolehi jaringan melalui Osvaldo Haay dan Diogo Campos Gomes.

Bambang kemudiannya diberikan peluang berucap di hadapan ribuan penyokong Persija yang sudah bersiap sedia untuk memberikan lambaian terakhir untuk pemain legenda itu.

Pemain daripada Indonesia ini pernah dianggap oleh ESPN sebagai antara 10 pemain Asia paling prolifik pada 2012.

Bambang Pamungkas beraksi bersama Selangor selama dua musim pada 2005 dan 2006.

Ketika bersama Selangor, Bambang Pamungkas berjaya membantu Selangor muncul juara Liga Perdana Malaysia sekaligus melayakkan Selangor untuk beraksi di Liga Super pada musim berikutnya.

Nama Bambang Pamungkas lantas menjadi idola penyokong ‘The Red Giants’ pada ketika itu apabila beliau turut membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia dan juga Piala FA pada musim yang sama.

Sepanjang dua musim bersama Selangor, Bambang Pamungkas telah tampil sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2005 apabila berjaya menghasilkan 23 gol daripada 24 perlawanan.

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email