[VIDEO]: Tindakan Pantas Polis Elak Insiden Tidak Diingini Melibatkan Penyokong Berlaku Di Luar Stadium MBPJ

Tindakan pantas pihak polis mengawal keadaan di luar Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (Stadium MBPJ) selepas tamat perlawanan di antara Selangor FC vs Kuala Lumpur City FC pada malam tadi berjaya mengelakkan insiden tidak diingini daripada berlaku.

Kedua-dua kumpulan penyokong kelihatan mulai berkumpul di perkarangan Stadium MBPJ selepas tamat perlawanan, dan pertikaman lidah mulai berlaku sehingga menimbulkan ketegangan.

Beberapa anggota penguatkuasa kemudiannya kelihatan untuk meredakan keadaan dan mengarahkan kedua-dua kumpulan penyokong untuk bersurai.

Dalam perlawanan Piala FA pada malam tadi Selangor berjaya menewaskan KL City FC dengan jaringan 1-0 hasil jaringan tunggal perlawanan oleh Alif Haiqal pada minit ke-62 perlawanan.

Kemenangan pada malam tadi sedikit sebanyak meredakan tekanan kepada pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner yang didesak penyokong Red Giants untuk dipecat selepas prestasi hambar pasukan itu di saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam tadi.

Kejayaan menewaskan KL City FC pada malam tadi bermakna Selangor berjaya mara ke suku akhir Piala FA 2022, dan akan berkunjung ke Likas untuk berhadapan Sabah FC di dalam pertandingan tersebut pada 23 Julai hadapan.

Ini bukan kali pertama ketegangan melibatkan penyokong di dalam Derbi Lembah Klang berlaku.

Pada Mac lalu dua penyokong ditahan susulan pergaduhan yang tercetus membabitkan penyokong kedua-dua pasukan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Insiden pada Mac itu juga menyaksikan pergaduhan turut berlaku diluar stadium. Dalam rakaman yang tular terdapat aksi tumbuk-menumbuk dan sepak terajang. Ada juga letupan mercun yang telah dibaling kearah penyokong Selangor FC.

Kongsi artikel ini