Video Tiga Gol Istimewa Angkat Sumareh Menjadi Kesukaan Penyokong Malaysia

Sudah tertulis rezeki pemuda yang berasal dari negara Gambia ini akan menempa namanya sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya yang terpenting dalam pasukan di bawah pengendalian jurulatih Tan Cheng Hoe dalam masa tiga tahun kebelakangan ini.

Beliau mula mendapat panggilan masuk ke skuad Harimau Malaya buat kali pertama pada hujung tahun 2018 untuk perlawanan persahabatan antarabangsa oleh jurulatih yang pernah membimbing pasukan Kedah sebelum ini.

Pemain yang memulakan karier profesionalnya di kelab PDRM , Perlis , Pahang , Polis Tero Fc Thailand dan kini bersama Johor Darul Takzim membuat debut dalam perlawanan pemanas badan menentang Sri Lanka sebagai pemain gantian berjaya meledakkan gol pertama antarabangsanya yang menyaksikan Malaysia menang bergaya 4-1.

 

Dalam satu temubual oleh wartawan Goal.com beliau mengakui amat terkejut mendapat panggilan telefon daripada Tan Cheng Hoe.

“Jujurnya saya dalam perancangan untuk bercuti selepas habis musim dan saya tidak menyangka dapat panggilan dari Tan Cheng Hoe. Mujur juga saya belum membeli tiket kapal terbang.”

Sumareh turut menyatakan dia bimbang untuk menyerlah dalam padang kerana berasa tidak cukup cergas pada ketika itu.

“Apabila masuk ke kem latihan kebangsaan , saya menyatakan kerisauan kepada Matt Davies kerana tahap kecergasan kurang memuaskan. Matt Davies menasihatkan saya supaya bermain seperti di Pahang macam biasa.”

Kehadiran dalam skuad kebangsaan tepat pada masanya apabila Sumareh membantu Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 tetapi tewas dengan pasukan Vietnam.

1. Gol penyamaan lawan Indonesia

Nama Sumareh terus menjadi bualan hangat penyokong Malaysia dalam perlawanan menentang Indonesia di Bung Karno dalam aksi kelayakan pusingan akhir Piala Dunia 2022/Asia 2023 pada 05 Januari 2019.

Indonesia telah berada di depan apabila mereka mendapatkan gol daripada penyerang naturalisasi Beto Goncalves minit ke 12. Gol ini nyata menyemarakkan laungan serta sorakan penyokong Garuda yang memenuhi keseluruhan sudut stadium kebanggaan mereka.

Menyedari situasi itu , Tan Cheng Hoe segera menggantikan Hadin Azman dengan pemain yang digelar ‘Keli Boy’ ini pada minit ke 37. Kemasukan pemain berjersi nombor 13 ini ternyata mendatangkan impak kepada Harimau Malaya.

Sentuhan pertamanya terus menghasilkan gol. Mendapat umpanan daripada Norazam Azih , Sumareh yang bermain di sayap kiri terus mendapatkan bola dan berlari ke dalam kotak penalti dan menewaskan penjaga gol Andritany Ardhiyasa.

 

Gol ini menjadikan pengulas sukan kita berasa teruja dan amat gembira  menjadikan mereka bersemangat untuk terus membuat ulasan perlawanan itu.

2. Gol kemenangan membenam Garuda

Sumareh menjadi wira dengan gol kedua peribadinya yang menyebabkan pasukan Indonesia amat kecewa sekali dengan kekalahan tipis 2-3.

Kemenangan skuad Harimau Malaya ini ternyata menggembirakan penyokong di Malaysia dan ia pula membuatkan penyokong Indonesia amat kecewa.

3. Gol kemenangan malukan Thailand

Thailand sebuah pasukan yang sukar untuk dikalahkan. Tetapi gol berkelas dunia Sumareh telah membuktikannya tiada apa yang mustahil.

Perlawanan ketiga pusingan kedua kelayakan akhir Piala Dunia 2022/Asia 2023 yang berlangsung di Bukit Jalil membuatkan berpuluh ribu penyokong bersorak nama Sumareh.

Kombinasi dua pemain di antara Sumareh dan Brendan Gan minit ke 57 menyaksikan satu rembatan yang padu menewaskan penjaga gol Thailand membuatkan stadium Bukit Jalil menjadi gegak gempita.

Menang ke atas pasukan Akira Nishino ini menyaksikan Malaysia berada di tangga kedua kumpulan G di bawah Vietnam.

Sejuta penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Sumareh serta rakan-rakannya kerana telah memberikan kemenangan kepada Malaysia dan juga penyokong bola sepak tempatan sehinggakan ada peminat cilik menangis kerana Sumareh menjaringkan gol.

Kini Sumareh telah menandatangani kontrak bersama kelab Johor Darul Ta’zim musim 2021. Namun banyak cakap-cakap termasuk sebahagian daripada penyokong kelab itu sendiri berpandangan Sumareh bukan pemain yang sesuai bermain untuk JDT.

Kelab JDT telah mempunyai koleksi pemain kebangsaan Harimau Malaya kerana mereka bermain di kelab yang hebat dan berpeluang bermain di peringkat tertinggi seperti pentas AFC Champions League (ACL). Ia juga seperti serampang dua mata untuk memperkuatkan kelab dan juga barisan kesebelasan Harimau Malaya.

Rumusan

Tetapi ia tidak mudah untuk Sumareh menyelitkan diri dalam kesebelasan utama JDT berikutan semua pemain handalan berebut untuk bermain di posisi masing-masing. Setiap pemain JDT bekerja keras untuk mempamerkan prestasi yang tinggi mendapatkan minit permainan yang kerap.

Bagaimana Mohamadou Sumareh mengambil hati penyokong bola sepak Johor seperti beliau menarik minat pemilik kelab itu , ia terserah kepada kemampuan , konsistensi , kelakuan dan gayanya di dalam keluarga besar Johor Southern Tigers.

Dan Sumareh juga berpeluang belajar daripada seorang pemain yang sangat berpengaruh dan berpengalaman luas Safiq Rahim yang juga telah kembali ke pangkuan skuad Harimau Selatan ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

Kongsi artikel ini