[VIDEO]: Sepak Bola Ke Arah Penyokong, Akaun Instagram Pemain Curacao Dan Birmingham City Diserang Netizen Indonesia

Perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Indonesia dan Curacao yang berlangsung pada Rabu lalu tidak lari daripada insiden panas sehingga berlarutan pada hari ini.

Dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 2-1 kepada Indonesia turut menyaksikan pemain tengah Curacao, Juninho Bacuna menerima layangan kad merah selepas mengasari pemain tuan rumah, Marselino Ferdinand pada minit ke-80 perlawanan.

Situasi tersebut mencetuskan situasi tegang di dalam padang sehingga berlaku tolak menolak di antara pemain kedua-dua pasukan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dan cemuhan ribuan penyokong Indonesia, Juninho Bacuna yang beraksi bersama Birmingham City di Liga Inggeris pada musim ini bertindak menyepak bola ke arah tempat duduk penyokong di Stadium Pakansari, Bogor, Jawa Barat.

Reaksi daripada Bacuna itu menyebabkan penyokong Indonesia bertindak balas dengan melontar pelbagai objek ke arah pemain itu.

Berdasarkan video yang tular di YouTube, beberapa pemain Indonesia kemudiannya dilihat cuba menenangkan penyokong mereka untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk daripada berlaku.

Akaun Instagram turut diserang

Pertelingkahan Bacuna dengan penyokong Indonesia tidak berhenti di situ sahaja. Malah kini akaun Instagram pemain itu turut diserbu oleh penyokong-penyokong Indonesia dengan pelbagai perkataan jelek.

Tidak cukup dengan itu, akaun Instagram Birmingham City turut jadi sasaran penyokong Indonesia untuk melepaskan geram atas tindakan Bacuna yang dianggap gagal mengawal emosi ketika perlawanan tersebut.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Juninho Bacuna (@jbacuna07)

Seiring banyaknya komen yang dilakukan, Bacuna terpaksa menutup ruangan komen di akaun Instagram miliknya kepada penyokong Indonesia.

Ia pasti pengalaman yang mahu dilupakan oleh pemain itu secepat mungkin.

Kongsi artikel ini