Tahukah anda bahawa anda boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di bawah Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020 jika ingkar Peraturan Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan kerajaan?
Atau tahukah bahawa anda boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan di bawah seksyen tersebut?
Berdasarkan laporan oleh Harian Metro pada hari ini, 614 rakyat Malaysia telah ditahan oleh pihak polis kerana ingkar arahan tersebut – tatkala negara sedang berhadapan krisis impak penularan wabak coronavirus.
Tangkapan tersebut termasuklah enam orang lelaki yang ditahan kerana ingkar arahan bersurai selepas selamba bermain bola sepak di sebuah padang awam di Pulau Tikus dua hari lalu.
Menurut Ketua Polis daerah timur laut, ACP Soffian Santong berkata tangkapan dilakukan pada jam 6:30pm Khamus lalu ketika pegawai polis melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Ketika rondaan, enam lelaki didapati sedang bermain bola sepak, dan seorang lagi lelaki sedang berjogging di keliling padang tersebut.
PDRM menahan 6 lelaki ingkar arahan PKP petang tadi.. Mereka ini ditahan ketika sedang leka bermain bola sepak di padang awam Jalan Burmah Georgetown,Pulau Pinang. pic.twitter.com/C53iqkrLhV
— nanmanjoi🇲🇾 (@nanmanjoi11) March 26, 2020
Selepas diberikan amaran untuk bersurai, lelaki-lelaki ini tetap berdegil dengan memberikan alasan kepada pihak polis mereka sekadar bersukan dan bukan melakukan perhimpunan.
Disebabkan kedegilan itu, pihak polis mengambil tindakan tegas menahan semua tujuh lelaki dalam lingkungan 20an tersebut.
Anda boleh saksikan penangkapan oleh pihak polis melalui video yang kami sediakan. Jadikan kes ini sebagai pengajaran dan patuhi arahan kerajaan dan pihak berkuasa dari masa ke semasa.