VIDEO: Pemain Tengah MU Safiq Rahim Tidak Terlepas Dari Operasi COVID-19 Oleh Pihak Polis

Berdasarkan tinjauan, masih ramai individu gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membawa keluarga memasuki pusat bandar.

Malah ketika ditahan kebanyakan memberi alasan mahu membeli barang keperluan rumah, sedangkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan sudah secara jelas mengehadkan pergerakan keluar rumah hanya untuk boleh dilakukan ketua keluarga saja.

Pada peringkat ini pihak polis masih menggunakan pendekatan memberi nasihat dan meminta mereka segera pulang ke rumah serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan.

Tidak terkecuali daripada sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis adalah pemain tengah Melaka United, Safiq Rahim.

Di dalam sekatan tersebut, kenderaan yang dipandu Safiq melalui dihentikan oleh pihak polis untuk tujuan pemeriksaan biasa.

Pegawai polis bertugas turut sedar pemandu tersebut adalah bekas pemain tengah negara itu dan bertanya tujuan perjalanan seperti mana yang berada di dalam prosedur.

Walaupun tidak kelihatan, ahli keluarga Safiq berkemungkinan antara yang berada di dalam kenderaan berdasarkan nasihat yang diberikan oleh pihak polis.

Pegawai polis bertugas menasihatkan agar Safiq membeli barang bersendirian dan tidak membawa ahli keluarga pada kunjungan seterusnya.

Cuma mungkin terlupa dek kesibukan dengan tugas, anggota yang bertugas tersebut seolah-olah lupa bahawa Safiq sudah beraksi bersama Melaka United sejak beberapa musim yang lalu, setelah berhijrah dari JDT.

“Ui Safiq Rahim” “semoga berjaya jdt” “yang main bola tu kan”, adalah antara perbualan anggota bertugas.

Sehingga kini, 1,306 kes jangkitan COVID-19 telah dilaporkan berlaku di seluruh negara melibatkan 10 kematian.

Dalam perkembangan sama, tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin berlanjutan dua bulan lagi, jika penguatkuasaan sehingga 31 Mac ini, gagal mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata beliau tidak menolak kemungkinan itu jika rakyat terus berdegil mengingkari PKP, mengabaikan pelaksanaan penjarakkan sosial serta tidak mengutamakan amalan batuk dan kebersihan yang baik.

Selain kedegilan rakyat, Sazaly berpendapat faktor lain mungkin menyumbang kepada kegagalan mengakhiri penularan jangkitan COVID-19, adalah tindakan ribuan orang ramai pulang ke kampung halaman selepas PKP diumumkan.

 

Kongsi artikel ini