[VIDEO]: Lihat Keraian Skuad JDT Selepas Disahkan Juara Liga Super Buat Kali Ke-9 Berturut-Turut

Kelab Bola Sepak Johor Darul Taโ€™zim (JDT) sah bergelar juara Liga Super Malaysia (MSL) 2022.

Kejuaraan kali ke-9 berturut-turut itu disahkan selepas pesaing terdekat, Sabah FC tewas 0-2 kepada Terengganu FC di dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada malam tadi.

Terdahulu, JDT yang cemerlang menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim terpaknsa menunggu untuk perlawanan di Gong Badak berakhir sebelum mengesahkan kejuaraan sekali lagi menjadi milik mereka.

Ini bermakna JDT disahkan sebagai juara MSL 2022 berbaki empat perlawanan pada musim ini.

Pengesahan kejuaraan yang ke-9 ini disambut dengan meriah di kalangan anggota skuad JDT bersama pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang sabar menanti wisel penamat perlawanan di Gong Badak melalui siaran secara langsung.

Musim ini dianggap antara musim terbaik yang pernah dilalui oleh JDT selepas memenangi trofi Piala Sumbangsih pada awal musim dan diikuti oleh kejuaraan Piala FA pada 10 September lalu.

Sah bergelar juara MSL pada musim ini, skuad Harimau Selatan kini berpeluang menyapu bersih semua kejuaraan domestik yang dipertandingkan pada musim ini sekiranya mampu menjulang Piala Malaysia yang akan bermula pada Oktober hadapan.

Musim ini turut menyaksikan JDT muncul pasukan pertama dari Liga Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati AFC Champions League, menjadikan musim ini sebagai antara musim yang paling diingati oleh penyokong kelab dari selatan tanah air ini.

Secara keseluruhan, rekod sembilan kejuaraan MSL secara berturut-turut sejak musim 2014 pasti menjadi rekod yang akan kekal lama dan sukar untuk dipecahkan oleh kelab-kelab lain di Liga Malaysia selepas ini.

Kongsi artikel ini