[VIDEO]: Lihat Cheng Hoe-Ball, Corak Permainan Baharu Selangor FC Berpaksikan Hantaran Pendek

Tan Cheng Hoe dikenali sebagai salah seorang jurulatih tempatan yang dikenali memiliki falsafah bola sepak moden seperti yang dituntut oleh permainan itu pada hari ini.

Hanya beberapa hari sahaja menyertai Selangor FC dan mengendalikan pasukan buat kali pertama, jurulatih berusia 54 itu sudah berjaya mengubah corak permainan skuad The Red Giants dan membantu pasukan itu mencatat kemenangan 5-0 ke atas Melaka United pada hujung minggu lalu.

Jika dinilai, ia sememangnya masih belum sempurna sepenuhnya. Tetapi impak kehadiran bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu sememangnya tidak boleh dinafikan.

Corak permainan baharu Selangor

Berdasarkan sedutan video yang dikongsi oleh sebuah portal bola sepak tempatan, Makan Bola, Selangor kini bermain dengan simple football berasaskan hantaran-hantaran pendek.

Jika dilihat, pemain-pemain Selangor jelas lebih selesa bertukar hantaran antara satu sama lain menggunakan ruang yang ada untuk melancarkan serangan.

Bermula dari bahagian bawah lagi, emain-pemain juga cenderung untuk berada di dalam bentuk segi tiga untuk memudahkan hantaran dilakukan, sambil off the ball run turut dilakukan oleh pemain lain untuk membuka ruang.

Lebih menarik, teknik dan dan taktik ini juga berkesan di kawasan sempit sehingga membenarkan gerakan seperti di atas memasuki Zon 14 pasukan lawan untuk menghadirkan peluang buat pasukan Selangor.

Sayang sekali gerakan tersebut gagal dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan jaringan walaupun ia dianggap sebagai gerakan berpasukan yang cantik.

Berdasarkan apa yang ditampilkan, penyokong Selangor pasti menarik nafas lega dan gembira dengan apa yang mereka saksikan.

Corak permainan yang ditampilkan oleh Selangor pada era Tan Cheng Hoe ini turut mengingatkan kita era kegemilangan pasukan Kedah yang dibimbing oleh jurulatih itu sebelum beliau bergelar pengendali skuad kebangsaan pada penghujung 2017.

Beri peluang kepada pemain

Dalam sidang media selepas perlawanan Tan Cheng Hoe mahu memberikan peluang kepada setiap pemain untum membuktikan kemampuan diri dan meningkatkan prestasi kepada tahap yang dimahukannya untuk membentuk sebuah skuad yang mantap.

“Saya harap setiap pemain mampu menunjukkan peningkatan dari segi corak permainan mereka dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya.

Apa yang penting adalah mereka bermain dengan semangat juang yang tinggi dan mempunyai keyakinan dalam setiap perlawanan,” ujar beliau ringkas.

Tan Cheng Hoe juga bertanggapan barisan pemain muda Selangor  mempunyai bakat yang besar dan berharap mereka mampu tampil konsisten untuk merebut tempat di dalam skuad Red Giants pada musim hadapan.

Kongsi artikel ini