(Video) Lihat Bagaimana Kemahiran Individu Tinggi Pemain Vietnam Menjaringkan Gol Yang Membenam Malaysia

Malaysia terus diajar oleh skuad kendalian Park Hang Seo , bagaimana cara bermain bolasepak bertempo laju , bertekanan tinggi serta kemahiran individu pemain mereka sehingga menyaksikan Harimau Malaya terkulai di Stadium Bishan , Singapura 3-0 malam tadi.

Persembahan yang ditonjolkan oleh Golden Dragon kepada Malaysia menjadi amaran awal kepada pasukan lain termasuk Indonesia betapa ampuhnya skuad ini yang menjadi calon pilihan sebagai Juara Piala AFF Suzuki 2020.

Beberapa pemain Vietnam menjadi duri dalam daging kepada tembok benteng pertahanan yang diketuai oleh Aidil Zafuan bersama Shahrul Saad yang juga diapit kiri dan kanan Rizal Ghazali dan Syahmi Safari.

Perkara ini turut diakui oleh peminat-peminat yang menonton aksi perlawanan Vietnam dan Malaysia yang berkongsi pandangan ikhlas mereka melalui laman Twitter tentang kualiti yang ada daripada anak buah Park Hang Seo.

Di awal 10 minit permainan , Vietnam mengatur gerakan serangan yang saling bertukar kiri dan kanan sayap membuatkan pemain Malaysia terpaksa berkampung di kawasan sendiri dan hampir dibolosi menerusi ayam tambatan mereka Nguyen Chong Phuong.

Bagaimanapun , pemain berjersi nombor 19 Nguyen Quang Hai berjaya meledakkan rembatan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat selepas mendapat umpanan ‘cutback’ Nguyen Tuan Anh yang lolos (numtag) di celah kaki Baddrol Bakhtiar ketika cuba menghalang bola itu daripada masuk ke kotak D gol Malaysia pada minit ke 32.

Malaysia mendapat separuh peluang terbuka , namun ia dipersiakan oleh Luqman Hakim setelah sepakan kaki kirinya tersasar apabila terdapat sedikit kesilapan daripada pertahanan Vietnam yang cuba mengeluarkan bola.

Bagaimanapun ia tidak menggusarkan mereka dan terus membuatkan pertahanan Harimau Malaya sekali lagi kelam kabut dan kali ini Nguyen Chong Phuong dengan skill individunya yang mengelirukan Dominic Tan dan sekali lagi tertewas penjaga gol Malaysia di minit ke 36.

Kecederaan harmstring Aidil Zafuan pada minit ke 26 yang terpaksa dikeluarkan menyebabkan pertahanan menjadi sedikit longgar dan ini memudahkan kerja Vietnam untuk membolosi pintu gol Malaysia.

Di separuh masa kedua , malang bertimpa lagi , Shahrul Saad terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan dan ini menjadikan tiada pertahanan tengah yang sejati. Tan Cheng Hoe terpaksa mengarahkan Rizal Ghazali berganding dengan Dominic Tan. Manakala Arif Fadzilah yang menggantikan Shahrul Saad berada di posisi pertahanan kanan.

Vietnam seperti memperlahankan permainan namun masih menguasai bola walaupun terdapat beberapa percubaan daripada Malaysia ke arah pintu gol mereka ia mudah dipatahkan.

Pada 10 minit terakhir pertahanan Malaysia sekali lagi bekerja keras agar gawang gol tidak bolosi lagi tetapi dihujung permainan yang menjangkakan kemenangan Vietnam 2-0 , hantaran Baddrol Bakhtiar yang tidak sampai ke Shahrel Fikri.

Bola dirampas semula oleh pemain nombor 11 Vietnam dan pantas dihantar ke Nguyen Huang Duc yang membuat gerakan solo menewaskan empat pemain Malaysia dan merembat masuk ke pintu gol di sebelah kiri Fahmi yang sekadar mampu tercegat melihat bola itu menerjah jaring.

Kemenangan selesa untuk Vietnam dan Malaysia perlu menelan pahit rekod kebal 7 tahun Vietnam tidak terkalah akan terus dipanjangkan lagi ke tahun hadapan.

 

 

 

Kongsi artikel ini