Lionel Messi menghasilkan tiga assist untuk membantu Barcelona menewaskan Real Betis 2-3 di Benito Villamarin.
Salah satunya adalah hantaran lambung yang memerangkap beberapa pemain pertahanan lawan untuk bola menemui larian yang dilakukan Frenkie de Jong selepas permainan menarik secara berpasukan ditampilkan pasukan pelawat.
Barcelona terlebih dahulu dikejutkan oleh gol pendahuluan pasukan tuan rumah oleh Sergio Canales yang menewaskan Marc-Andre ter Stegen dari sepakan penalti.
Tidak lama selepas itu, De Jong yang tiba dari Ajax pada musim panas lalu bijak melakukan larian sebelum menyempurnakan hantaran oleh Messi yang memerangkap barisan pertahanan Betis.
KING of ASSISTS! 🎩
Posted by LaLiga on Sunday, 9 February 2020
Pemain Belanda berusia 22 tahun itu melakukan hantaran kepada Messi, sebelum meneruskan larian ke dalam kotak penalti lawan, yang turut bijak dibaca oleh kapten pasukan Barcelona itu.
Skuad kendalian Quique Setien kemudiannya sekali lagi ketinggalan pada babak pertama perlawanan melalui percubaan rendah Nabil Fekir yang berjaya menewaskan Ter Stegen.
Tetapi sebelum tamat babak pertama, Barca berjaya menyamakan kedudukan apabila Sergio Busquet berjaya menyambar satu lagi hantaran Messi ke dalam kotak penalti.
Barcelona berada di hadapan pada pertengahan babak kedua apabila sepakan percuma oleh Messi ke arah kotak penalti ditanduk kemas oleh Clement Lenglet masuk ke dalam gawang.
Barcelona dan Betis masing-masing beraksi dengan 10 pemain selepas Lenglet dan Fekir diarahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan.
Barcelona mempertahankan kebangkitan 3-2 untuk mengumpil tiga mata berharga dan terus mengekori Real Madrid yang masih mendahului La Liga.
Untuk rekod, ini adalah kali keempat Messi melakukan hatrik assist sepanjang karier beliau.