Bayern Munich membelasah Schalke 5-0 dalam aksi Bundesliga pada awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut meletakkan kelab Bavarian itu di tangga kedua Bundesliga, ketinggalan hanya satu mata di belakang RB Leipzig yang kini merupakan pendahulu Bundesliga.
Dalam perlawanan ini, Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-21 untuk Bayern Munich di Bundesliga pada musim ini untuk memberikan pendahuluan kepada Bayern seawal minit ke-6 perlawanan.
Rekod Muller dan Lewandowski
Untuk rekod, gol tersebut menjadikan Lewandowski sebagai pemain pertama yang menjaringkan 21 gol dari 19 perlawanan pertama Bundesliga.
Pemain terakhir yang berjaya melakukan kadar jaringan sedemikian adalah Gerd Muller pada musim 1972-/73.
Lewandowski menjaringkan gol tersebut selepas penjaga gol Schalke, Markus Schubert gagal menangkap kemas hantaran lintang Thomas Muller.
Lewandowski dan Muller masing-masing turut melihat jaringan mereka dibatalkan oleh pengadil sebelum Muller melebarkan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.
Gol jaringan Muller pula adalah gol ke-100 pemain tersebut di Allianz Arena meliputi semua pertandingan.
Jaringan Goretzka tarik perhatian
Bersambung babak kedua, giliran bekas pemain Schalke sendiri, Leon Goretzka mencuri tumpuan.
Berpunca daripada sepakan sudut, percubaan pertama oleh Goretza melalui tandukan ditampan menggunakan badan oleh pemain pertahanan lawan.
Goretzka's goal
He is on fire 🔥 pic.twitter.com/FfXcwceRd5— Goretzka Stuff (@GoretzkaStuff) January 25, 2020
Bola tersebut kemudiannya kembali kepada Goretza yang kemudiannya menyudahkan peluang terhidang dengan sepakan gunting menarik yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.
Secara teknikal, ia seolah-olah Goretzka telah mencipta assist untuk dirinya sendiri sebelum menyempurnakannya.
Pemain tengah ini menyertai Schalke daripada Bochum pada 2013, dan telah tampil bersama sebanyak 12 kali untuk skuad kebangsaan Jerman, termasuk ketika Piala Konfederasi sebelum memilih untuk menyertai Bayern Munich pada musim panas 2018.
Walaupun turut menarik minat daripada Liverpool, Arsenal dan juga Juventus, Goretzka jelas lebih tertarik dengan peluang untuk beraksi di Allianz Arena.
Ia menjadi faktor utama beliau memilih untuk menyertai Bayern Munich pada ketika itu.
Malam sengsara Schalke
Selepas itu, giliran Thiago Alcantara menyempurnakan bola hantaran pendek Lewandoski untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Kesengsaraan Schalke dalam perlawanan ini kemudiannya diteruskan oleh jaringan minit akhir Gnabry.
Walaupun tewas besar, ia tidak mengubah kedudukan Schalke di tangga ke-5 dengan 33 mata.
Bayern Munich pula mendekatkan diri dengan pendahulu selepas RB Leipzig dikejutkan dengan kekalahan 2-0 oleh Frankfurt.
Â