[VIDEO]: Gol Sulung Safawi Di Liga Thai Bantu Ratchaburi Benam Chonburi

Safawi Rasid akhirnya berjaya menjaringkan gol pertamanya di Liga Thai sejak berhijrah menyertai Ratchaburi FC secara pinjaman daripada JDT pada Januari lalu.

Penyerang sayap skuad Harimau Malaya itu sebelum ini telah beraksi di dalam 11 perlawanan di semua pertandingan untuk Ratchaburi, termasuk sembilan perlawanan liga.

Jaringan oleh Safawi dalam perlawanan menentang Chonburi hadir pada masa tambahan babak pertama perlawanan.

Berpunca daripada satu serangan balas daripada sebelah kiri, gerakan itu menimbulkan suasana kelam kabut di hadapan gawang Chonburi.

Safawi kemudiannya bijak menolak masuk bola dengan tandukan yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol lawan untuk gol kedua Ratchaburi dalam perlawanan tersebut.

Sebelum itu Ratchaburi berjaya mendahului pasukan tuan rumah melalui jaringan pemain import dari Brazil, Vanderley Dias Marinho melalui sepakan penalti pada minit ke-32 perlawanan.

Ketinggalan 2-0 Chonburi cuba melakukan kebangkitan pada babak kedua dan berjaya menjaringkan gol melalui Danilo Almeida Alves pada minit ke-60.

Beberapa perubahan secara taktikal dilakukan oleh Ratchaburi selepas itu untuk mempertahankan kelebihan, termasuk menggantikan Safawi dengan pemain pertahanan dari Brazil, Rafael Jansen pada minit ke-66 perlawanan dilakukan.

Kedudukan 2-1 memihak kepada Ratchaburi kekal sehingga wisel penamat. Tiga mata penting ini bermakna Ratchaburi melonjak ke kedudukan kelima, memintas Chonburi dengan kedudukan satu mata di kedudukan Liga 1 Thai.

Berkongsi mata dengan Muangthong United di kedudukan ketiga, dan ketinggalan satu mata berbanding Port FC, mengakhiri musim di kedudukan ketiga dianggap pencapaian paling realistik buat Safawi dan Ratchaburi pada musim ini – berbaki 6 perlawanan liga pada musim ini.

Kongsi artikel ini