Jamie Redknapp adalah bekas pemain Liverpool sekitar tahun 1990an sehingga awal 2000. Baru-baru ini Redknapp berada di Kuala Lumpur untuk pelancaran Cadbury FC musim ketiga.
Redknapp turut tampil bersama trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Kuala Lumpur semalam.
Dalam temuramah sebelum ini, Redknapp menyatakan kekaguman terhadap pemain yang menyarung jersi No.11skuad Harimau Malaya.
Pemain yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Safawi Rasid.
Dalam perlawanan menentang Indonesia di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Safawi menjaringkan dua gol.
Dua gol tersebut dijaringkan pada minit ke-30 perlawanan hasil sepakan percuma kaki kiri cantik, diikuti oleh rembatan deras – juga dengan kaki kiri – pada minit ke-73 perlawanan selepas memperdayakan pemain pertahanan Indonesia.
Sebelum tiba di Malaysia, Redknapp berkata beliau sempat menyaksikan dua gol jaringan Safawi itu dan kagum dengan kekuatan kaki kiri pemain tersebut.
Malah Redknapp percaya Safawi sepatutnya berani mencabar diri dengan beraksi di Eropah dengan kebolehan yang pemain itu miliki.
“Sebelum saya datang ke Malaysia untuk menjadi tetamu dalam pelancaran Cadbury FC ini, anak saya membuka Youtube dan aksi pemain nombor 11 (Safawi) memikat hati saya.
“Dia berani mengelecek dan mempunyai sepakan percuma kaki kiri yang berkualiti dan terus terang, dia seorang pemain yang memikat mata saya mengenai pemain dari Malaysia,” kata Redknapp
“Saya rasa dia perlukan sedikit tuah seperti (Takumi) Minamino yang ke Liverpool.\

Dia juga perlu berani (beraksi di Eropah) selain berusaha keras dan agresif dengan melihat lebih banyak perlawanan liga luar seperti EPL (Liga Perdana Inggeris).
“Apapun, dia ada kelebihan unik kaki kiri seperti mana Mohamed Salah. Kuncinya berani mencabar diri ke luar negara kerana dia masih muda dan bertenaga,” katanya bekas kapten Liverpool itu.
Pemain tengah JDT itu sebelum ini pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Zurich FC. Namun khabar angin itu kemudiannya lenyap begitu sahaja.
Pemain sayap penyerang itu telah memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia selama dua musim berturut-turut — masing-masing pada 2018, dan 2019.