VIDEO: Dua Gol Cummings Bantu Kelab Kerdil Shrewsbury Ikat Juara Dunia Liverpool

Bagi sebuah kelab yang dianggap kerdil seperti Shrewsbury, Liverpool dilihat lebih daripada sebuah kelab yang sedang gagah mendahului saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagi kelab League One itu Liverpool adalah juara Eropah, dan juga juara dunia – setelah kelab Merseyside itu memenangi Kejohanan FIFA Piala Kelab Dunia pada Disember lalu.

Liverpool mungkin tidak menurunkan kesebelasan terbaik mereka dalam perlawanan ini.

Namun kelibat Roberto Firmino dan Mohamed Salah yang dimasukkan kemudian, adalah indikasi jelas Shrewsbury berjaya menganggu perancangan Jurgen Klopp.

Dalam keadaan jadual perlawanan yang semakin padat, perlawanan ulangan bukanlah sesuatu yang dialu-alukan oleh Klopp walaupun ia bakal berlangsung di Anfield.

Liverpool terlebih dahulu mendahului di dalam perlawanan ini melalui pemain berusia 18 tahun, Curtis Jones yang melakukan penyudah klinikal pada minit ke-15 perlawanan.

Ia diikuti oleh gol sendiri jaringan Donald Love, untuk Liverpool selesa di hadapan, dan layak ke pusingan kelima buat pertama kali dalam pertandingan Piala FA sejak 2015.

Namun Shrewsbury juga cemerlang dalam permainan mereka dan akhirnya berjaya menemui dua jaringan dalam tempoh 10 minit perlawanan melalui pemain gantian, Jason Cummings.

Malah penjaga gol kedua Liverpool, Adrian turut terpaksa berada di prestasi terbaik untuk menyelamatkan gawang dari dibocori lebih banyak gol.

“Kami beraksi mengikut pelan yang dirancang dengan sangat baik,” ujar pengurus Shrewsbury, Sam Ricketts.

“Selepas 32 saat pada babak kedua [dibolosi gol sendiri], kebanyakkan pasukan hanya akan rebah. Tetapi sekurang-kurangnya pemain saya memperolehi apa yang sepatutnya mereka dapat.

“Saya berpendapat peluang menang itu ada. Kami mempunyai peluang yang lebih baik. Namun ianya hanya selepas kemasukan Jason  [Cummings] barulah penyudah kami klinikal.

Sebahagian penyokong Shrewsbury melakukan boo ketika Cummings dibawa masuk untuk menggantikan Callum Lang pada minit ke-60 perlawanan.

Namun bekas penyerang Hibernian itu berjaya mencetuskan kebangkitan dengan jaringan dari sepakan penalti, dan satu lagi jaringan selepas Cummings berjaya memperdaya dua pertahanan Liverpool.

Klopp memasukkan Mohamed Salah dan Roberto Firmino dalam usaha mencari kemenangam. Namun Shrewsbury berjaya mempertahankan kedudukan untuk perlawanan ulangan di Anfield.

 

Kongsi artikel ini