[VIDEO]: Dianggap Misteri, Tempat Duduk Penyokong Kelab Divisyen 3 Thailand Tiba-Tiba Roboh Selepas Sepak Mula

Tempat duduk penyokong di Stadium Narathieat NAQ yang digunakan untuk perlawanan membabitkan kelab Divisyen 3 (Thai 3) roboh sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil untuk perlawanan membabitkan Nara United selaku tuan rumah menentang Songkla FC.

Kejadian tersebut berlaku pada petang Ahad, pada 6 November lalu.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan lebih kurang 30 orang penonton yang berada di tempat duduk penyokong itu turut tersembam menyembah bumi bersama binaan itu.

Tempat duduk tersebut dipercayai sudah usang dan berusia berpuluh tahun.

Penyokong jelas kedengaran menjerit ketakutan apabila binaan setinggi 10 meter itu tiba-tiba condong dan rebah menyembah permukaan tepi padang.

Salah seorang penyokong dikenali sebagai Suchai adalah salah seorang saksi kejadian apabila berada di seberang padang.

“Degupan jantung saya seperti berhenti sebentar apabila melihat tempat duduk penyokong di seberang runtuh.

“Saya agak risau dengan mereka yang berada di sana kerana ia boleh mendatangkan kecederaan,” ujar beliau.

Bagaimanapun insiden tersebut tidak menyebabkan kecederaan serius dan pengadil perlawanan tetap meneruskan perlawanan tanpa menghiraukan perkara yang berlaku di tepi padang.

Nara United adalah salah sebuah pasukan profesional yang beraksi di Thai League 3 dan berkata akan menyiasat kejadian tersebut. Bagaimanapun wakil kelab menyifatkan kejadian tersebut sebagai misteri.

“Ia adalah misteri. Tidak ada siapa boleh menjelaskan bagaimana ia boleh roboh secara tiba-tiba.” ujar wakil kelab itu yang enggan dinamakan.

Nara United sebenarnya bukan kelab yang asing bagi sebahagian penyokong bola sepak di Malaysia. Berpengkalan di selatan Thailand, Nara United pernah berkunjung ke negara ini untuk perlawanan persahabatan menentang Kelantan TRW ketika pra musim pada 2020.

Kongsi artikel ini