VIDEO: Dennis Bergkamp, Raja Zon 14 Dari Belanda Yang Memukau Dunia

Kawalan bola dalam bola sepak merupakan antara elemen penting bagi seorang pemain. Ia adalah kebolehan yang wajib dimiliki oleh mana-mana pemain bola sepak.

Dalam bola sepak, ada saja pemain yang cukup cemerlang dalam mengawal bola dengan cukup hebat dan kadang kala cukup memukau kita yang menontonnya.

Salah seorang legenda bola sepak dunia yang sering kali memukau dengan sentuhan, visi, dan hantaran adalah Dennis Bergkamp.

Dennis Bergkamp

Bergkamp adalah antara pemain yang sudah bersara, namun masih lagi dekat di hati peminat bola sepak di seluruh dunia.

Bagi kebanyakkan, Bergkamp adalah antara No.10 terbaik yang pernah disaksikan di dalam sejarah bola sepak dunia.

Pada awal karier profesional, Bergkamp mencipta nama sebagau anggota skuad emas Ajax dan mencatat 185 penampilan dan mencetak sebanyak 105 goal dari tahun 1986-93.

Seangkatan dengan Bergkamp pada ketika itu di dalam skuad Ajax adalah Frank De Boer, Philip Cocu, Edgar Davids dan ramai lagi.

Pemain-pemain ini turut menjadi tunjang skuad Belanda pada era tersebut.

Pada tahun 1993, beliau merasakan diri beliau perlu mencari pengalaman baru dan kemudiannya menerima pinangan dari gergasi Serie A iaitu Inter Milan melibatkan nilai perpindahan £7.1 juta.

Sepanjang bersama Inter Milan selama dua tahun beliau hanya mampu merekod 52 penampilan dan menyumbangkan gol sebanyak 11 gol sahaja.

Mungkin merasakan diri tidak sesuai disana, Bergkamp kemudianya menyatakan hasrat untuk berpindah. Beliau kemudian memilih untuk menyertai Arsene Wenger di Arsenal.

Bergkamp di Arsenal

Bergkamp membangunkan formasi dan taktikal yang di acu oleh Arsene Wenger, sekaligus menjadikan pengendali dari Perancis itu sebagai salah seorang antara pengurus terbaik di England dan dunia.

Masihkah anda ingat dengan Wengerball? Wengerball dilengkapkan dengan aksi Bergkamp-Henry.

Dennis Bergkamp, telah menunjukan kepada dunia bahawasanya dalam bola sepak tiada istilah ‘kick and rush’ – atau one route football-yang sememangnya terkenal di England pada ketika itu.

Teknik yang diperagakan oleh Bergkamp sangat memberahikan dan boleh menyebabkan semua lelaki di dunia jatuh cinta, bahkan menduakan kelab kesayangan dalam permainan bola sepak.

Ini belum termasuk cara mencetak gol yang dipamerkannya seperti tidak pernah kita duga oleh kotak fikiran dan umpanan yang seumpama seorang penari balet yang sedang berentap di gelanggang tinju yang tidak sepatutnya beliau bertanding di situ.

Musim terbaik beliau di Arsenal adalah ketika tahun 1997-98 iaitu membantu kelab London itu muncul juara berganda- Piala FA dan Liga Perdana Inggeris dan menyumbangkan sebanyak 16 gol di liga.

Beliau bukan sahaja terkenal dengan jolokan sebagai pengumpan dan penjaring gol terbaik di dalam bola sepak Inggeris, malah turut menyerlah dalam skuad Belanda.

Dennis Bergkamp adalah Raja Zon 14

Dennis Bergkamp adalah antara pemain No.10 terbaik sepanjang zaman. Permainan beliau banyak berkisar di Zon 14, di antara dua garis pertahanan lawan (between the lines).

Ketika suku akhir Piala Dunia di Perancis beliau menerima umpanan dari jarak 40 meter jauhnya dari Frank De Boer dalam kotak penalti dan disambut baik oleh Bergkamp dan beliau telah memanipulasi bahagian benteng Argentina.

Jaringan tersebut seperti definisi kepada ketenangan, elegan, gaya, mutu, keunggulan, dan bisa yang mampu dipamerkan oleh pemain ini melalui aksi di atas padang.

Dengan dua sentuhan mudah, beliau berjaya memperdayakan asakan dari Roberto Ayala dan menjaringkan gol untuk membawa Belanda ke pentas separuh akhir Piala Dunia.

Berikut pula adalah permainan lain oleh Bergkamp bersama pasukan Belanda.

Kongsi artikel ini