VIDEO: Azizulhasni Kemalangan Dan Dilanggar Dari Belakang Acara Keiren Piala Dunia

Hasrat pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang untuk menampilkan aksi terbaik dalam acara keirin di Piala Dunia tidak kesampaian apabila beliau terbabit dalam kemalangan pada petang tadi.

Insiden berlaku ketika Azizulhasni cuba memotong pelumba Poland, Krzysztof Maksel. Perlumbaan berbaki satu pusingan pada ketika itu.

Namun pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata yang secara tiba-tiba cuba ‘memancungnya’ dari arah belakang menyebabkan Azizulhasni terhimpit Maksel dan beberapa pelumba lain turut terjatuh.

Kawabata kemudiannya dibatalkan penyertaannya kerana menyebabkan insiden itu.

“Pancungan itu kalau diikutkan seperti datang dengan niat kurang baik namun sebagai seorang atlet profesional berjiwa besar, saya tetap melihatnya dengan positif.

“Sudah lumrah dalam dunia lumba basikal trek terutamanya dalam acara keirin. Jatuh bangun itu adalah adat bertanding dan tidak perlu mengambil perkara seperti ini secara peribadi.

β€œSemua orang mahu menang dan disebabkan itu kadang-kadang benda tidak diingini berlaku,” kata Azizulhasni di laman Facebook dan Instagram miliknya ketika menunggu laporan doktor di Hospital Princess Alexandra.

“Saya terseret jauh, mata di pejam, terasa kulit badan bergeseran dengan permukaan kayu, panas, pedih dan sakit, situasi amat huru hara, terdengar juga jeritan dari pelumba lain. Dalam hati saya hanya mampu menyebut nama Allah dan berdoa supaya tidak ada kayu mencucuk ke dalam tisu badan saya seperti kejadian pada 2011 lalu.

“Apabila seretan sudah berhenti, saya mengerang kesakitan, tidak dapat bernafas hasil dari hentakan jatuh dan juga dilanggar oleh pelumba dari belakang saya pada kelajuan sekurang-kurangnya 70km/h.

β€œSaya dah macam ayam kena sembelih. Ramai orang mengelilingi saya, saya tidak dapat membuka mata, tapi terdengar suara jurulatih John Beasley, beliau suruh saya baring, bertenang dan cuba bernafas,” katanya.

Kekecewaan terbesar Azizulhasni sudah tentu kerana tidak boleh berada di podium, selepas anak dan isteri beliau turut menghadiri perlumbaan tersebut.

Azizulhasni adalah prospek emas negara di Sukan Olimpik Tokyo pada tahun hadapan. Doa kita semestinya agar beliau segera pulih untuk meneruskan perjuangan selepas ini.

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email