[VIDEO]: Atlet Muay Thai 16 Tahun Dari Sarawak Hanya Perlukan 16 Saat Tumbangkan Peserta Thailand

Seorang peserta Muay Thai berusia 16 tahun dari Sarawak mencipta fenomena tersendiri di pertandingan ONE Championship apabila hanya memerlukan 16 saat untuk menumbangkan lawannya.

Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau turut dikenali dengan nama Jojo melakukan penampilan sulungnya di kejohanan seni mempertahankan diri profesional itu.

Jojo jelas tidak membuang masa memastikan namanya akan terus diingati oleh mana-mana lawan selepas ini, apabila berjaya menumbangkan wakil tuan rumah, Padetsuk Fairtex  di pusingan pertama dengan keputusan KO dalam kategori ‘Flyweight Muay Thai’.

“Ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan bagi diri saya untuk membuat debut pada ONE Championship dan kemenangan pukulan KO tidak dijangkakan,” katanya kepada Bernama selepas pertarungan tersebut.

Dalam pertarungan itu, Jojo beraksi dengan bijak sejak dari permulaan apabila berjaya memerangkap lawan dengan kombinasi pukulan bertubi-tubi yang menepati sasaran sehingga membuatkan lawan gagal meneruskan saingan.

Usaha keras Jojo bawa pulangan

Kejayaan tersebut turut menyaksikan Jojo membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM44,000.

“Saya sentiasa mahu bertarung dalam kejohanan ini, maka berlatih dengan gigih untuk mencapai hasrat ini.

“Saya berlatih kira-kira lapan jam sehari iaitu empat jam mulai jam 6 pagi dan pada sebelah petang mulai 4 petang.

“Usaha keras selama ini berbaloi. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih, Addy Singpayak yang menjaga saya. Beliau adalah jurulatih yang sangat berdedikas dan memastikan saya berlatih secara konsisten,” tambahnya lagi.

Produk Muay Thai Rentap

Jojo beraksi di ONE Championship mewakili Kelab Muay Thai Rentap. Sebenarnya kelab tersebut telah mempersiapkan Jojo sejak sebulan yang lalu untuk menyertai pertandingan tersebut.

Nama Jojo juga sebenarnya bukan asing di peringkat pertandingan remaja Muay Thai. Pada tahun lalu, beliau muncul juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022, menewaskan peserta Rusia, Rustam Yunusob.

Penampilan di peringkat senior pada usia 16 tahun dan kejayaan terbaru ini sudah pasti akan menjadi pencetus semangat buat Jojo untuk pergi lebih jauh lagi di dalam sukan ini.

Kongsi artikel ini