VIDEO: Aksi Ini Bukti Lucas Torreira Nadi Penting Taktikal Arteta Bersama Arsenal

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai Lucas Torreira sejak menyertai Arsenal pada musim panas yang lalu.

Jika anda sememangnya mengikuti perkembangan karier pemain antarabangsa Uruguay ini sejak dari mula, kedatangan beliau ke Emirates seperti satu kesia-siaan.

Ianya ibarat satu lagi bakat bola sepak yang akan dilupakan. Namun selepas hanya tiga perlawanan di bawah kendalian Mikel Arteta, Torreira membuktikan sebaliknya.

Aksi beliau dalam beberapa perlawanan mengingatkan kita mengapa Torreira dianggap penemuan baru yang pernah mengujakan penyokong Arsenal.

Setidak-tidaknya aksi beliau baru-baru ini membuatkan lawan kagum akan kebolehan taktikal beliau dalam permainan.

Kenali permainan Torreira

Sebelum kita pergi lebih jauh, mungkin lebih baik kita mengenali corak permainan pemain ini untuk mengetahui kelebihan dan kekurangan beliau.

Setidak-tidaknya, kita meneliti bagaimana bakat beliau dibina.

Torreira sebenarnya dianggap sebagai pemain bertubuh kecil. Kerana itu, posisi asal pemain ini adalah sebagai seorang flanker.

Antara keupayaan Torreira ialah keupayaan beliau mengawal bola di ruangan sempit di kalangan pemain pertahanan lawan.

Beliau juga mempunyai kemahiran teknikal tinggi, dan tajam dalam mencari penyudah. Tetapi menariknya, pemain ini turut mempunyai bakat semulajadi melakukan tugas bertahan.

Kebolehan bertahan milik Torreira sebenarnya dikesan oleh Massimo Oddo, bek kanan yang membantu Itali menjuarai Piala Dunia pada 2006.

Maka bermulalah program transformasi terhadap Torreira, iaitu untuk mengubah posisi beliau daripada seorang flanker, kepada seorang destroyer di posisi tengah.

Torreira adalah jenis pemain yang mempunyai iltizam untuk menjadi pemain bola sepak berkelas dunia.

Fokal taktikal Arteta

Walaupun memiliki antara barisan pemain menyerang ternama, Arsenal sebenarnya memiliki barisan pertahanan yang rapuh sepanjang tempoh dikendalikan oleh Unai Emery.

Ini adalah salah satu masalah yang perlu ditangani segera oleh Arteta.

Dengan adanya Torreira, pemain ini memberikan kestabilan kepada permainan Arsenal secara berpasukan.

Kebijaksanaan Torreira membaca gerakan serangan lawan untuk membenarkan beliau berada di posisi yang betul membenarkan beliau melakukan hadangan dan pintasan yang diperlukan.

Dalam sistem permainan yang diterapkan Arteta, Arsenal cenderung beraksi menggunakan hantaran pendek, bergerak sebagai satu unit, dan jarak pemain berhampiran antara satu sama lain pada setiap transisi.

Dengan adanya Torreira, Arsenal mampu mematikan gerakan dari bahagian tengah pasukan lawan seperti ketika dibuktikan dalam perlawanan menentang Manchester United tempoh hari.

Kongsi artikel ini