Ante Rebic menjaringkan gol ketiga dalam dua perlawanan. Penjaga gol, Gianluigi Donnarumma pula cemerlang di hadapan gawang.
AC Milan pula tidak tewas dalam empat perlawanan, dan menang 1-0 ke atas Brescia pada pagi tadi.
Kemenangan tersebut sekaligus melonjakkan Milan ke tangga keenam, sekaligus membuka laluan untuk ke pertandingan Europa League pada musim hadapan.
Dan semua pencapaian – kebetulan atau tidak – tiba selepas ketibaan Zlatan Ibrahimovic pada jendela perpindahan Januari.
Impak oleh Ibrahimovic
Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol pertamanya sejak kembali ke AC Milan untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas Cagliari di tempat lawan pada 12 Januari lalu.
Ia menamatkan rentetetan tiga perlawanan tanpa kemenangan dalam saingan Serie A sebelum itu.
Penyerang Sweden yang menyertai kelab Itali tersebut buat kali kedua secara percuma pada bulan ini telah menyumbat gol kedua pasukannya pada minit ke-64 menerusi penyudah cantik.
The best influencer that I've ever known.
The one and only, Zlatan Ibrahimovic. pic.twitter.com/4g2maGcdXZ
— ゴール・D・ヤシャー (@Didi_Yasher) January 24, 2020
Ibrahimovic diturunkan buat kali pertama ketika Milan diikat 0-0 dengan Sampdoria sebelum ini. Ia penampilan yang hambar buat Ibrahimovic pada mulanya.
Dengan gol pertamanya pada tahun ini, ia menjadikan beliau muncul pemain yang menjaringkan gol dalam empat dekad yang berbeza.
Rebic semakin menjadi
Rebic menjaringkan dua gol dalam perlawanan pada minggu lalu untuk Milan menewaskan Udinese.
Kali ini, Rebic mengambil kesempatan bola yang gagal dikawal kemas pertahanan lawan, susulan hantaran lintang oleh Zlatan Ibrahimovic, untuk memberi kelebihan kepada Milan pada minit ke-71 perlawanan.
Sejak kembalinya Ibrahimovic ke Milan, kelab itu telah merekodkan empat kemenangan dan satu seri dalam semua pertandingan yang dilalui.
Pujian turut wajar diberi kepada Donnarumma yang menghasilkan persembahan terpuji dengan aksi menyelamat sukar untuk menafikan Dimitri Bisolo dan Ernesto Torregrossa.
Milan kini menduduki tangga ke-6, empat mata di belakang Atalanta yang berada di tangga kelima.
Mahu layak ke Eropah
“Objektif kami ialah untuk layak ke Eropah,” ujar Donnarumma.
“Kami harus terus tampil bermain begini dan tidak berehat walaupun seketika. Selepas ini kami akan beraksi menentang Torini di pertandingan Piala Itali, dan kami mahu mara ke separuh akhir.
“Kami akan menghadapi perlawanan demi perlawanan dan memastikan momentum diteruskan.
4 – AC Milan have won four matches in a row in all competitions for the first time this season. Improvement.#BresciaMilan #SerieATIM
— OptaPaolo (@OptaPaolo) January 24, 2020
Brescia beraksi tanpa penyerang utama, Mario Balotelli yang digantung dua perlawanan selepas melakukan protes terhadap kad kuning pada minggu lalu.
Pemain itu mengakhiri perlawanan sebelum ini dengan layangan kad merah akibat kekasaran terhadap pemain lawan.
Brescia kekal satu mata di atas Genoa yang menduduki tangga tercorot Serie A.