VAR Di Liga Malaysia Bukan Sekadar Janji Manis, Dijamin Hanya Tunggu Masa Untuk Dilaksanakan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memohon semua pihak untuk bersabar mengenai teknologi bantuan video pengadi (VAR) di Liga Malaysia 2023 kerana ia hanya menunggu masa sahaja untuk diumumkan pelaksanaannya.

FAM sememangnya menjadikan pelaksaan VAR di saingan Liga Malaysia pada musim ini sebagai antara agenda utama, dan ia bukan sekadar janji masnis.

Malah pelaksanaannya bermula musim ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman beberapa hari yang lalu.

Malah demi memastikan perancangan tersebut boleh direalitikan pada musim ini, Noor Azman mendedahkan sehingga kini beberapa perbincangan telah diadakan oleh pihak FAM untuk memastikan usaha tersebut berada di landasan tepat.

Bercakap kepada Berita Harian beberapa hari yang lalu, Noor Azman berkata: “Sebenarnya dalam perbincangan, mungkin ada berita baik mengenai penggunaan VAR. Cuma kaedah penggunaan itu Datuk S Sivasundaram sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil akan umumkan.

“Belum diputuskan lagi (berapa jumlah pengadil akan dihantar untuk latihan VAR), tetapi sudah ada dalam perbincangan. Kita akan ada penggunaan VAR itu, cuma tunggu masa.

“Biar Datuk Sivasundaram yang umumkan. Kami sudah melakukan tiga, empat kali mesyuarat dan benda itu sudah peringkat nak kena umumkan sahaja,” katanya.

Memandangkan sepak mula Liga Malaysia 2023 dijadualkan akan bermula pada Februari akan datang, penggunaan VAR dijangka tidak akan digunakan secara menyeluruh pada musim ini, tetapi diadakan secara berperingkat berdasarkan venue dan peringkat perlawanan.

Sebelum ini FAM pernah memberikan gambaran teknologi yang semakin digunakan dengan kerap di kejohanan-kejohanan dan liga utama di seluruh dunia itu akan digunakan di perlawanan penting seperti di saingan suku akhir, separuh akhir dan final Piala FA serta Piala Malaysia.

Antara kekangan utama pelaksanaan VAR selain daripada faktor logistik adalah faktor kos yang perlu diperhalusi agar tidak membebankan kelab bertanding.

Pada masa ini hanya Liga Thai sahaja yang menggunakan teknologi VAR sepenuhnya. Selain Liga Malaysia, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) turut berada di peringkat akhir untuk membolehkan VAR digunakan di musim baharu Singapore Premier League (SPL) pada tahun ini.

Kongsi artikel ini