Van Persie Dedah Punca Hubungan Keruh Bersama Van Gaal Sebelum Tinggalkan Man United

Robin van Persie baru-baru ini mendedahkan perbualan di antara beliau dan bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal sebelum beliau meninggalkan Old Trafford.

Pemain dari Belanda itu menyertai United dari Arsenal pada 2012, iaitu pada musim terakhir Sir Alex Ferguson.

Van Persie menjaringkan 26 gol di Premier League untuk United muncul juara pada 2012/13. Ia adalah musim terakhir United bergelar juara liga sehingga kini.

Selepas prestasi buruk ketika di bawah kendalian David Moyes, United kemudiannya melantik Louis van Gaal, iaitu pengurus yang menyaksikan Van Persie menyerlah ketika bersama Belanda di Piala Dunia 2014.

Sedikit sebanyak ketibaan Van Gaal dan keberadaan Van Persie di Old Trafford mewujudkan harapan tinggi di kalangan peminat.

Namun hubungan kedua-duanya menjadi masam dan van Persie menyifatkan ia berubah ‘secara kasar’ setelah Van Gaal memaklumkan dirinya tiada dalam perancangan pengurus itu.

“Saya bercakap kepada Louis van Gaal dia berkata kepada saya: ‘Ok Robin, kita akan berpisah. Saya jurulatih dan awak adalah pemain –  anda harus pergi, masa anda sudah cukup’,” dedah van Persie kepada High Performance Podcast.

“Ia amat kasar. Pada penghujungnya, saya menjangkakan sesuatu, namun tidak menjangkakan ianya sekasar ini. Ia mengenai cara beliau memaklumkannya. Kemudian ia diikuti oleh banyak perkara yang datang ke minda.

“Saya masih mempunyai kontrak. Keluarga saya juga gembira. Pada ketika itu, ia adalah musim ke-11 saya di England. Kami juga gembira dengan kehidupan di England. Apakah yang akan berlaku seterusnya?

“Anak-anak saya ke sekolah. Mereka ada kawan dan segalanya [di England]. Dan hanya dalam beberapa saat, semua itu datang ke minda anda. Apakah reaksi yang anda perlukan?

“Saya berkata: ‘Kita akan lihat apa yang akan berlaku. Itu pendapat anda. Tetapi saya memiliki kontrak dan saya gembira di England dan Manchester United. Jadi kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku.’ Saya kemudiannya bangun, berjabat tangan dengan beliau, dan pergi meninggalkan beliau.”

Namun Van Persie berkata perkara itu tidak mengubah pendirian Van Gaal, dan pada ketika pra musim bermula jurulatih itu mengasingkan beliau dari perlawanan latihan 11 vs 11.

“Ketika dalam perjalanan pulang, saya berfikir: ‘Okay, ini amat sukar. Bagaimana anda hrus memberi reaksi selepas diberi mesej sebegitu? Ia amat kasar dan keras, dan juga melulu.

“Saya tidak dibenarkan menyertai latihan 11 vs 11, dan diberikan bola untuk melakukan latihan sendirian.

“Saya cuba untuk kekal tenang, tetapi banyak perkara berlaku. Anda cuba berlagak tenang seolah-olah ia tidak akan memberikan kesan, tetapi sebenarnya ia amat memberikan kesan. Ia memberikan kesan kepada saya, keluarga, dan karier.

“Saya memilih untuk tenang walaupun pada ketika itu ada baiknya jika saya memilih untuk bercakap dengan seseorang dari luar. Tetapi saya sangat degil untuk berbuat demikian.

“Hari ini ketika merenung kembali apa yang berlaku, saya berpendapat saya harus melakukan itu.”

Karier Van Persie bersama United berakhir pada 2015, dan beliau kemudiannya menyertai Fenerbahce dengan potongan harga dari United.

Louis Van Gaal pula dipecat pada tahun seterusnya walaupun berjaya membawa United menjuarai Piala FA pada musim 2015/16.

Kongsi artikel ini