Van Dijk Bimbang Julang Trofi EPL Dalam Stadium Kosong

Kapten Liverpool, Virgil van Dijk mengakui amat kecewa jika penularan wabak COVIC-19 menghalang kehadiran penyokong ketika mereka dinobatkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak 30 tahun yang lalu.

The Reds kini mendahului kedududukan liga dengan kelebihan 25 mata, tetapi semua pertandingan domestik di seluruh England kini ditangguhkan sehingga 3 April hadapan.

Bermain di stadium kosong selepas pertandingan disambung semula adalah antara cadangan yang dibangkitkan dalam usaha terus mengawal penularan wabak tersebut.

“Tidak ada pemain yang suka beraksi dalam perlawanan tanpa penyokong, ” kata Van Dijk.

“Jika kami disahkan juara dalam stadium kosong tanpa kehadiran penyokong, maka saya amat kecewa untuk penyokong,” ujar pemain antarabangsa Belanda itu lagi.

“Sangat jelas jika tiada penyokong di Anfield, maka ia adalah tamparan hebat buat kami.”

Sehingga kini belum jelas bagaimana saingan liga akan diteruskan. Malah terdapat permintaan daripada kelab-kelab lain supaya saingan musim ini dibatalkan sahaja.

Malah ramai bernada skeptikal pertandingan liga pada musim ini mampu ditamatkan.

“Sehingga keputusan dibuat bagaimana ia diteruskan, maka buat masa ini kita harus tunggu sahaja. Apabila ia berlaku [disambung kembali], kita akan membawa kejuaraan itu kepada penyokong,” kata Van Dijk dengan yakin.

Semua jenis sukan di Britain dijangka akan terus ditunda pada minggu akan datang dan Perdana Menteri Boris Johnson dijangka akan mengumumkan smua perhimpunan awam tidak dibenarkan di United Kingdom.

Pihak Premier League sendiri akan mengadakan mesyuarat tergempar buat kali kedua pada Khamis hadapan untuk berbincang mengenai hala tuju musim ini susulan perancangan terkini daripada UEFA sendiri.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Brighton, Paul Barber berkata beliau sukar untuk membayangkan liga boleh disambung kembali pada April – mengambil kira penularan kes ini secara global.

Naib Pengerusi West Ham, Karren Brady pula menuntut agar musim ini dibatalkan terus dan tidak perlu diambil kira.

Liverpool kini hanya memerlukan enam mata sahaja lagi untuk menamatkan kemarau kejuaraan Liga Inggeris – pertandingan yang kali terakhir mereka menangi pada 1990.

 

Kongsi artikel ini