‘Usain Bolt India’ Tolak Sertai Skuad Olahraga Kerana Terbiasa Berlari Dengan Kerbau

Masihkah anda ingat kisah lelaki dari India yang dikatakan berjaya memecahkan rekod 100 meter milik Usain Bolt ini?

Srinivas Gowda sebelum ini mencipta sensasi di seluruh dunia kerana mampu berlari bersama kerbaunya dalam acara tradisional digelar Kambala di India.

Larian beliau kemudiannya dirakam penonton dan catatan larian Gowda dikalatan mengatasi rekod 100 meter yang dicipta Usain Bolt pada 2009 – walaupun berlari dalam keadaan berlumpur.

Dalam larian tersebut, Gowda dikatakan telah berjaya merekodkan catatan masa 13.62 saat untuk larian berjarak 142.50 meter pada 31 Jan.

Secara purata, Gowda telah berlari dalam jarak 100 meter dengan catatan 9.55 saat, iaitu 0.03 saat lebih cepat daripada rekod Usain Bolt.

Rekod yang direkodkan oleh Gowda itu turut menarik perhatian minat Menteri Sukan India yang menawarkan Gowda untuk menjalani sesi percubaan di trek sebenar bersama pasukan olahraga India.

Malah tiket keretapi beliau dikatakan telah ditempah untuk membenarkan Gowda menjalani sesi percubaan tersebut.

“Pegawai dari Lembaga Sukan India (SAI) telah menghubungi beliau. Tiket keretapinya sudah ditempah dan dia akan sampai ke pusat SAI pada hari Isnin. ” kata kenyataan dari kementerian tersebut.

Namun tawaran tersebut ditolak oleh lelaki tersebut yang bekerja sebagai petani.

“Saya mengalami kecederaan kaki dan fokus saya kini hanyalah pada acara Kambala.

“Saya juga sudah terbiasa berlari bersama kerbau di sawah padi,” jelas beliau kepada BBC.

Kambala adalah acara sukan tradisional yang berasal dari Karnataka di India

Acara tersebut memerlukan peserta berlari bersama dua ekor kerbau yang telah diikat bersama merentasi kawasan sawah padi yang berlumpur.

 

 

Kongsi artikel ini