Uncle Kentang Tubuh Akademi Bola Sepak Di Puchong

Siapa yang tidak mengenali Uncle Kentang? Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ di kalangan netizen adalah seorang aktivis sosial.

Beliau dikenali dengan aktiviti sukarela dan kebajikan yang membantu masyarakat dan peduduk setempat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

Pelbagai usaha telah beliau lakukan sebelum ini. Antaranya ialah menyediakan kemudahan ambulan, teksi, serta menjual barangan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan dengan kadar 10 sen sahaja.

Terbaru Uncle Kentang telah menubuhkan sebuah akademi bola sepak yang dikenali sebagai Uncle Kentang Football Academy (UKFA).

Akademi bola sepak tersebut terbuka untuk setiap anak muda berusia 8 sehingga 16 tahun.

UNCLE KENTANG FOOTBALL ACADEMY IN MAKING. UNTUK ANAK ANAK PUCHONG SAHAJA. PANGGILAN KEPADA ADIK ADIK YANG MINAT MAIN…

Posted by Kuan Chee Heng on Tuesday, 18 February 2020

Lebih menarik, dalam muat naik yang dilakukan di Facebook miliknya, Kuan Chee Heng turut akan menyediakan khidmat jurulatih secara percuma kepada pelatih akademi secara percuma.

“KAMU BAYAR DENGAN PELUH KAMU SAHAJA,” ujar beliau dalam muat naik tersebut.

Pada tahun lalu, Kuan Chee Heng turut mencuri tumpuan apabila mencalonkan dirinya untuk bertanding Pilihanraya Kecil DUN Semenyih.

Dalam pilihan raya tersebut, Kuan Chee Heng menentang tiga calon lain iaitu Muhammad Aiman Zainali mewakili Pakatan Harapan, sementara Barisan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing mencalonkan Zakaria Hanafi dan Nik Aziz Afiq Abdul.

Usaha Kuan Chee Heng menubuhkan sebuah akademi bola sepak di Puchong wajar diberikan pujian.

Tidak ramai yang sanggup melabur untuk pembangunan pemain pada usia muda. Apatah lagi secara percuma.

Langkah yang diambil oleh Kuan Chee Heng ini hanyalah satu permulaan.

Tetapi siapa tahu, niat murni Kuan Chee Heng ini juga mampu melahirkan lebih ramai pemain seperti Safawi Rasid pada satu hari nanti.

Buat Uncle Kentang, terima kasih dan selamat maju jaya kami ucapkan.

 

 

Kongsi artikel ini