UFC 249: McGregor Label Khabib Kecut, ‘Ayam-kan Diri’ Elak Lawan Tony

Conor McGregor menuduh seterunya Khabib Nurmagomedov telah ‘ayam-kan diri’  – dengan kata lain pengecut – selepas juara UFC kategori lightweight itu menarik diri dari mempertahankan gelaran menentang Tony Ferguson di UFC 249 pada bulan ini.

Pada Rabu lalu Khabib berkata beliau kini berada di Dagestan dan berkata tidak akan melanggar peraturan perintah berkurung yang dikuatkuasakan kerajaan kerana penularan wabak COVID-19.

Presiden UFC Dana White sebelum ini bertegas supaya pertarungan tersebut tetap diteruskan di sebalik kritikan ramai pihak.

Ini menyebabkan pertarungan tersebut mustahil untuk diadakan di Brooklyn setelah kerajaan Amerika Syarikat tidak membenarkan ianya diteruskan kerana bimbangkan penularan.

McGregor turur mengungkit kembali sejarah Khabib-Tony yang tidak pernah berhadapan satu sama lain di oktagon – walaupun telah diatur untuk berlawan sebanyak lima kali sejak Disember 2015.

Empat pertemuan sebelum ini terpaksa dibatalkan kerana isu kesihatan dan kecergasan.

Tetapi McGregor yang dikaitkan dengan pertarungan dengan pemenang pertemuan ini tidak teragak-agak menyalahkan Khabib atas pembatalan kali ini.

“Fakta sebenarnya ialah Tony dan Khabib telah diatur untuk pertarungan antara ‘ayam-ayam’,” tulis McGregor di ciapan Twitter nya.

“Kali ini Khabib ‘ayam-kan’ dirinya dahulu. Jadi sekarang kedudukan 3-2 kelebihan untuk Tony. Khabib selamatkan diri dengan keluar dari US kerana krisis. Krisis yang sangat berisiko. Tahniah Tony,” ujar McGregor dengan nada penuh sindiran.

McGregor kembali ke UFC pada Januari lalu dan cemerlang dalam pertarungan menentang Donald Cerrone yang berkesudahan selama 40 saat.

Ia adalah pertarungan pertama McGregor sejak beliau ditewaskan oleh Khabib dalam pertarungan penuh insiden den kontroversi pada Oktober 2018.

McGregor merancang untuk lebih aktif pada 2020 tetapi mengakui lega tidak mempunyai sebarang pertarungan tatkala wabak COVID-19 sedang menular.

“Saya berada di tahap terbaik untuk beratrung. Namun pada permulaan krisis saya berkata kepada diri – saya lega kerana tidak ada pertarungan dijadualkan dalam tempoh ini.

“Jika ada saya pasti akan menggunakan apa sahaja data yang tidak benar untuk menyokong saya meneruskan pertarungan. Dan saya masih akan menang.”

 

Kongsi artikel ini