UFC 249: Conor McGregor Bakal Ganti Khabib Lawan Tony Ferguson?

Adakah Conor McGregor akan menggantikan Khabib Nurmagomedov sebagai lawan Tony Ferguson di UFC 249 pada 18 April hadapan?

Sekurang-kurangnya itulah perkara yang dibayangkan oleh jurulatih peribadi The Notorious baru-baru ini.

Presiden UFC Dana White sebelum ini seperti bertekad agar pertarungan di antara Nurmagomedov dan Ferguson diteruskan walaupun seluruh dunia kini berada di bawah perintah berkurung akibat penularan pandemik COVID-19.

Dan kini Khabib sendiri turut mengesahkan dirinya tersekat di Rusia. Ianya adalah selepas juara tidak terkalah itu meninggalkan Amerika Syarikat setelah dimaklumkan pertarungan tidak diadakan di negara tersebut.

Penutupan semua pintu masuk ke Amerika Syarikat dan Rusia juga bermakna ianya mustahil untuk Khabib kembali memenuhi tarikh pertarungan dengan Ferguson.

Pihak UFC sebelum ini berkata sedang menilai pilihan untuk meneruskan pertarungan, dengan bintang welterweight, Jorge Masvidal, bekas pesaing lightweight, Justin Gaethje turut dilihat sebagai pengganti untuk menentang Ferguson di Octagon.

Dan terbaru, John Kavanagh yang merupakan jurulatih UFC kepada McGregor memberikan bayangan anak buahnya itu telah dipilih untuk berhadapan dengan Ferguson sebagai pengganti Khabib.

McGregor sebelum ini mempunyai reputasi sebagai penyelamat keadaan tampil sebagai petarung pengganti pada awal kariernya bersama UFC, dan Kavanangh membayangkan The Notorious mungkin akan melakukannya sekali lagi.

Ketika tampil membalas ciapan Ariel Helwani mengenai pandangan beliau Gaethje akan berhadapan dengan Ferguson, atau adakah UFC sepatutnya perlu menanti Khabib, Kavanagh membalas: “Mungkin kita sebenarnya ada pilihan ketiga…”

Kali terakhir McGregor beraksi ialah pada Januari lalu apabila beliau hanya memerlukan 40 saat untuk menewaskan Donald Cerrone.

 

Kongsi artikel ini