Typical Politician – Tunku Mahkota Johor Minta Keluarkan Bukti Dan Fakta Ceritakan Segalanya

Menteri Besar Kedah , YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md. Nor merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KDA) terus mengeluarkan kenyataan berbaur kontroversi kepada individu tertentu dan walaupun tanpa menyebut nama sekalipun , sudah pasti peminat bola sepak tempatan boleh mengagak siapakah yang dimaksudkan oleh beliau.

Presiden KFA sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan yang mengingatkan semua pihak agar tidak mewujudkan ‘tokong’ dalam kancah bola sepak tanah air kerana sukan bola sepak di negara ini bukan milik mana-mana individu tertentu sebaliknya dimainkan untuk semua golongan.

“Bola sepak ini bukan untuk individu dan tak boleh ada ‘tokong’ dalam sukan ini sampai semua nak pergi sembah dia dulu. Jangan ada tokong dalam bola sepak sebab bola sepak ini sukan untuk semua orang. Sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis ‘fair play‘ tetapi ada tokong. Semua nak kena tanya dia dulu, ‘mampuih’ lagu (macam) itu, nak main macam mana,”

Menteri Besar Kedah berasa pelik ketika pertemuan di antara Johor Darul Ta’zim dan Negeri Sembilan di mana pengadil memberikan tambahan masa kecederaan selama 10 minit menyaksikan kelab dari selatan tanahair menang 1-0 ke atas tuan rumah.

 

Beberapa hari kemudian , media sosial rasmi Johor Southern Tigers telah membuat pengumuman ringkas, pemain yang dipinjamkan kepada Kedah selama setahun Syafiq Ahmad telah kembali ke pangkuan pasukan JDT selepas tamat cuti antarabangsa biarpun baru 5 bulan beraksi dengan pasukan terbabit.

Penyerang yang berusia 26 tahun ini telah menjaringkan dua gol dan menghasilkan tiga bantuan gol kepada pasukannya.

Terpalit dengan kontroversi itu , Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Jeneri , menafikan bahawa beliau adalah punca punca utama Johor Darul Ta’zim (JDT) memanggil semula Syafiq Ahmad dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Beliau turut menafikan kenyataannya berhubung kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak negara tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Menyalahkan saya ya? Saya tidak sentuh Syafiq Ahmad. Mana sebab saya pula, saya buat apa? Saya buat apa? Siapa yang makan cili ni? Saya tak tahu, siapa makan cili dia yang pedaslah. Bukan hal itu. Kenapa perasan sangat?

“Saya tak marah sesiapa, maksudkan tokong itu jangan terlalu ‘berkuasa’ semua orang kena tanya bola sepak ini untuk semua orang,” katanya kepada pemberita selepas hadir dalam program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas di sini hari ini.

Beliau juga membuat pendedahan mengenai individu tersebut turut memberi hadiah bonus kepada pasukan lain sekiranya mereka berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA).

Kontroversi ini telah mendapat pandangan daripada DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim , pemilik kelab Johor Darul Ta’zim melalui ciapan daripada akuan rasmi Twitter baginda sebentar tadi.

Istilah ‘typical politician’ yang digunakan oleh Tunku Mahkota Johor merujuk kepada ahli politik yang sentiasa mengalihkan pandangan umum mahupun rakyat daripada masalah utama yang dihadapi kepada perkara-perkara lain yang boleh menjadikan mereka terlupa dengan isu yang sepatutnya diselesaikan oleh ahli politik.

Selepas sembilan perlawanan , skuad Aidil Sharin Sahak berada di tangga ke empat dalam carta Liga Super Malaysia 2022 dengan pungutan 14 mata.

Manakala skuad kendalian Benjamin Mora , menjadi pendahulu dalam carta MSL dan masih mempunyai baki tiga perlawanan dengan pungutan 16 mata.

Kedah Darul Aman FC akan menjadi tuan rumah kepada Johor Darul Ta’zim pada 19 Jun 2022 dalam perlawanan Liga Super Malaysia sebelum mereka bertanding dalam Asia Federation Championship Cup (Piala AFC) dalam kumpulan G.

 

Kongsi artikel ini