Tuntut AFC & India Mohon Maaf, Atau Kemboja Tarik Diri Daripada Kelayakan Piala Asia

Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC) memberi amaran tidak akan turun beraksi menentang India dan mendakwa pihak penganjur dan tuan rumah gagal menjaga kebajikan pemainnya.

Perlawanan tersebut bagaimana pun diteruskan menyaksikan India menang 2-0.

Kemboja dijadualkan memulakan kempen pusingan kelayakan Piala Asia pada 8 Jun lalu di Stadium Salt Lake di Kolkota.

India dan Kemboja berada di dalam Kumpulan D bersama-sama Hong Kong dan Afghanistan.

Presiden FFC, Jeneral Sao Sokha mendakwa AFC dan Konfederasi Bola Sepak Seluruh India (AIFF) wajib memohon maaf kerana keadaan makanan dan tempat kediaman yang teruk disediakan untuk skuad Kemboja.

“Jika AFC, AIFF enggan memohon maaf kepada Kemboja dalam tempoh tiga jam berikutnya, kami akan bawa pulang keseluruhan pasukan,” kata Sokha memberi amaran.

Turut menjadi pertikaian dengan tuan rumah dan penganjur ialah bagaimana bendera Kemboja dikendalikan.

Timbalan Setiausaha Agung AFC, Shin Man Gil melalui surat penjelasan kepada Kemboja menjelaskan sebab bendera Kemboja yang dipamer penganjur tidak mengikuti spesifikasi reka bentuk dan warna kerana disiarkan di skrin gergasi.

“Jadi sila ambil tahu AFC akan menggunakan grafik bendera kebangsaan di skrin gergasi untuk semua perlawanan berikutnya, dan ia adalah amalan AFC selama dua tahun sebelum ini,” jelas surat itu.

Perlawanan Kemboja seterusnya ialah menentang Hong Kong pada 11 Jun dan Afghanistan tiga hari kemudian.

Ini bukan kali pertama atlet daripada Kemboja menjadi perhatian ketika kejohanan antarabangsa.

Di Sukan SEA 2019 yang berlangsung di Filipina pemain Kemboja terpaksa tidur di lantai hotel kerana bilik yang sepatutnya diberikan kepada mereka belum bersedia untuk digunakan.

Kongsi artikel ini