Tunku Mahkota Johor Cadang Anjur Satu Pertandingan Untuk Pemain Muda ?

Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang telah membatalkan kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia 2021 awal bulan ini telah mendapat reaksi daripada DYMM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim dalam program Bola@Mamak eksklusif yang dibawakan Astro Arena pada malam tadi.

“Kesannya sangat teruk kerana pemain muda kita perlukan pertandingan yang kompetetif.”

Bagaimanapun pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil inisiatif berbincang dengan pihak Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk mengadakan pertandingan kompetetif bagi pemain-pemain muda ini.

“Saya telah berbincang dengan AMD untuk adakan competition , untuk 6-7 pasukan pun takpa bagilah mereka bermain daripada tak main langsung kerana ini akan matikan bakat-bakat muda kita.” kata baginda dalam program yang dikendalikan oleh Hafizal Hamad yang turut disertai oleh Asmawi Bakiri , bekas pemain Selangor dalam temubual berkenaan.

Pembatalan kedua-dua liga ini telah menimbulkan reaksi negatif di pelbagai pihak kerana ia akan mendatangkam kesan terhadap pembangunan pemain muda ini susulan pandemik Covid-19 yang telah berlanjutan hampir dua tahun mengakibatkan pertandingan peringkat umur ini tidak dapat dilaksanakan.

Beberapa wakil pasukan beranggapan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu wajar kerana soal kesihatan dan keselamatan pemain wajib diutamakan terlebih dahulu berdasarkan situasi pandemik Covid-19 ini masih lagi tidak menentu dalam tempoh masa yang tidak dijangka serta ada pemain-pemain muda ini masih lagi belum melengkapkan dua dos vaksin yang diperlukan.

Bagaimanapun Tunku Mahkota Johor mendedahkan ia bukan salah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membatalkan kedua-dua pertandingan berkenaan , tetapi ia daripada permintaan pasukan-pasukan itu sendiri.

“Bukan FAM , yang request adalah pasukan-pasukan lain kerana nak save bajet , tak nak bagi budak-budak ini main.”

Baginda juga mengkritik kelab-kelab yang mendapat peruntukan kewangan hanya fokus membeli pemain import tetapi tidak mahu melabur kepada pemain-pemain muda.

“Kalau ada 1.2 juta awak tak invest 400 ribu untuk foreign player (pemain tempatan) , another RM 400 ribu untuk youth player. Kalau ada wang 1.2 juta awak nak beli pemain import sahaja , memanglah takde duit. Tapi mangsanya adalah awak punya young players.”

Dengan dua musim berturut pembatalan kedua-dua pertandingan ini , sudah pastilah memberikan impak yang besar terhadap perkembangan dan pembangunan pemain muda negara serta tahap kesihatan mental mereka juga amat terjejas apabila tidak dapat bermain dalam satu perlawanan sekalipun.

Terdapat pelbagai cadangan daripada pihak-pihak yang mengambil berat dalam pembangunan pemain muda ini diantaranya menggunakan kaedah ‘sports bubble’ di mana pertandingan berkenaan dilaksanakan secara format karnival dengan semua pasukan dikumpulkan dalam satu tempat dan mengadakan swab test berkala kepada semua-semua pemain yang ada.

 

Kongsi artikel ini