Tujuh Penyokong Bola Sepak Di Bangladesh Cedera Kerana Rusuhan

Sekurang-kurangnya tujuh penyokong bola sepak di Bangladesh mengalami kecederaan akibat pergaduhan sesama sendiri.

Anehnya, pergaduhan tersebut bukanlah disebabkan prestasi mengecewakan skuad kebangsaan negara itu di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Bangladesh yang diundi di dalam Kumpulan E sudah pun tersingkir dan gagal melayakan diri ke pusingan akhir Piala Asia pada tahun hadapan.

Ini selepas kekalahan 2-0 Bangladesh kepada Bahrain diikuti kekalahan 2-1 kepada Turkmenistan semalam.

Bangladesh akan melengkapkan jadual Kumpulan E pada Selasa hadapan menentang pasukan negara kendalian Kim Pan-gon.

Kerana Brazil dan Argentina

Pergaduhan yang berlaku sebenarnya melibatkan kumpulan penyokong rakyat Bangladesh yang begitu fanatik menyokong Brazil dan Argentina.

Menurut AFP, laporan polis pada Khamis lalu menyatakan tujuh daripada mereka mengalami kecederaan.

Dua negara Amerika Selatan itu memiliki kumpulan penyokong yang cukup fanatik di Bangladesh, dan ini bukan kali pertama pergaduhan atau rusuhan membabitkan kedua-dua kumpulan penyokong berlaku di negara itu.

Malah tidak keterlaluan untuk kita katakan peminat bola sepak di Bangladesh lebih fanatik dengan pasukan seperti Brazil dan Argentina, berbanding skuad kebangsaan mereka sendiri.

Laporan polis pada Rabu lalu menyatakan tidak kurang 300 peminat bola sepak merusuh menggunakan batu dan kayu kriket di Dhaka.

Pergaduhan dipercayai berpunca daripada sekumpulan penyokong Argentina yang menyanyi kegembiraan meraikan kemenangan pasukan itu ke atas Itali dan Estonia, sebelum pertengkaran berlaku dengan kumpulan penyokong Brazil.

Walaupun melibatkan pergaduhan yang besar, pihak polis Bangladesh berkata tiada tangkapan telah dibuat berkaitan insiden tersebut.

Gila kriket, minat Brazil dan Argentina

Bangladesh sebenarnya lebih dikenali sebagai negara yang lebih obses dengan sukan kriket.

Tetapi negara itu juga memiliki ramai penyokong Brazil dan Argentina, dan peminat Lionel Messi dan Neymar.

Kedua-dua bintang dunia itu dipuja seperti selebriti Bollywood di negara itu.

Demam Piala Dunia di Bangladesh juga amat luar biasa sehingga penyokong melakukan perarakan untuk kedua-dua negara, selain ritual keagamaan yang tidak pernah berlaku membabitkan skuad kebangsaan Bangladesh sendiri.

Malang sekali setiap kali berlaku pertembungan di antara Brazil dan Argentina di dalam mana-mana kejohanan dan perlawanan, maka pihak polis Bangladesh akan menjadi yang paling sibuk.

Kongsi artikel ini