TSAM Sudi Bantu KAFA Dari Tindakan FIFA

Susulan pendedahan oleh akhbar Harian Metro sebelum ini bahawa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berdepan pergantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA (FIFA) tidak dipandang sebelah mata oleh individu yang ramai ketahui masih sayang akan bola sepak Kelantan.

Individu yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan kesediaan membantu KAFA dari segi kewangan.

KAFA sebelum ini diarahkan oleh FIFA untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import, Casio Jesus de Francisco berjumlah RM629,620.28.

Malah masa semakin suntuk untuk KAFA badan bola sepak dunia itu memberi tempoh sehingga 23 Mei ini untuk berbuat demikian.

“Saya juga tahu Kafa sedang menghadapi tuntutan dan perintah mahkamah yang difailkan EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang berjumlah hampir satu juta ringgit. Saya juga tahu Kafa kini belum menerima tajaan atau pengiklan. Saya sangat memahami,” ujar beliau kepada Harian Metro semalam.

Annuar turut berkata tidak ramai tahu betapa sukarnya berperanan sebagai sukarela untuk menerajui persatuan bola sepak. Beliau juga mendedahkan terpaksa menolak tawaran Datuk Wan Rahim [Presiden KAFA] untuk menjadi Ahli Lembaga Penasihat KAFA.

“Saya berterima kasih tetapi atas kesibukan dan masalah lain saya belum dapat menerimanya.

“Tetapi setiap tahun saya masih membantu KAFA, termasuk mencari kawan-kawan membantu [KAFA], khususnya untuk membayar hutang [tunggakan]. Walau tanpa jawatan, sebagai anak Kelantan kita sayangi negeri kita.”

Buat masa ini Annuar berkata beliau akan fokus untuk membantu KAFA untuk memenuuhi arahan yang diberikan oleh FIFA dan tindakan mahkamah oleh KWSP.

Skuad The Red Warriors kini berhadapan risiko digantung penyertaan di dalam saingan Liga Malaysia sepertimana yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sekiranya terus gagal melunaskan tunggakan gaji tersebut.

 

Sumber: Harian Metro

 

Kongsi artikel ini