Tragedi Kanjuruhan Korbankan 127 Mangsa, Lebih Teruk Dari Hillsborough Dan Antara Yang Terburuk Di Dunia

Tragedi Kanjuruhan yang berlaku di kalangan penyokong Arema FC akibat rusuhan penyokong kini telah mengorbankan 127 nyawa.

Jumlah mangsa yang terkorban itu menjadikan ia lebih buruk daripada tragedi Hillsborough dan kini dianggap sebagai antara yang terburuk pernah berlaku di dalam dunia bola sepak.

Insiden buruk itu berlaku sejurus selepas tamat perlawanan membabitkan Arema FC dan Persebaya Surabaya di dalam pertemuan Berbi Jawa Timur di Stadium Kanjuruhan.

Berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap kekalahan 3-2 kepada Persebaya, penyokong tuan rumah menyerbu masuk ke dalam padang untuk melakukan bantahan sejurus selepas wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.

Situasi itu menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal walaupun polis cuba meleraikan rusuhan menggunakan gas pemedih mata.

Malang berlaku apabila tembakan turut mengena kelompok penyokong yang berada di tempat duduk masing-masing.

Situasi tersebut mencetuskan panik sehingga menyebabkan kematian apabila tolak menolak mulai berlaku dan mangsa dipijak ketika ribuan penyokong cuba menyelamatkan diri dan mencari jalan keluar daripada stadium.

Jumlah korban

Menurut Radio Elshinta yang mendapat laporan daripada Ketua Polis Jawa Timur, Irhen Pol Nico Afinta, jumlah mangsa yang maut kini sudah mencapai ratusan orang.

Sehingga jam 10 pagi (9pagi waktu Malaysia), 127 orang disahkan telah maut setakat ini. 2 daripadanya adalah anggota polis, dan 34 lagi mangsa maut di dalam stadium. 93 lagi mangsa maut selepas dibawa ke hospital.

Angka kematian tersebut jelas mengejutkan kerana lebih ramai dari tragedi Hillsborough yang jturut pernah menarik perhatian dunia. Tragedi malang yang terkenal di seantero dunia itu berlaku pada 15 April 1989.

Peristiwa tersebut mengakibatkan 96 orang penyokong Liverpool maut.

Amaran polis diabaikan?

Jawatankuasa pertandingan antara Arema dan Persebaya dilaporkan telah mendapat amaran terlebih awal daripada pihak polis mengenai jumlah jualan tiket di Stadium Kanjuruha yang harus dihadkan khusus untuk perlawanan ini.

Berdasarkan surat yang diterbitkan Ibu Pejabat Polis Malang, ada cadangan untuk tidak mencetak tiket berdasarkan kapasiri sebenar stadium seperti yang biasa dilakukan, mengambil kira risiko dan suasana perlawanan yang sering panas membabitkan pertemuan kedua-dua pasukan..

Walaupun demikian, pihak Arema dilaporkan tetap mencetak dan menjual 42,000 keping tiket yang dijual habis.

Liga 1 ditangguhkan

Presiden Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Mochamad Iriawan sudah mengambil langkah membentuk Jawatankuasa Penyiasat untuk menyiasat tragedi ini, termasuk untuk menyiasat kemungkinan tindakan pihak polis menjurus kepada kejadian ini.

Insiden rusuhani di Stadium Kanjuruhan dikaitkan dengan penggunaan gas pemedih mata dan ini bukanlah kali pertama kejadian seumpamanya berlaku.

Pada 15 April 2018, perkara hampir sama terjadi ketika Arema menentang Persib Bandung. Ketika itu satu kematian dilaporkan berlaku dan 214 orang mangsa lagi mendapatkan rawatan di hospital.

Yang dipersoalkan sekarang adalah tindakan pihak polis menggunakan gas pemedih mata yang tidak dibenarkan di dalam peraturan FIFA.

Kongsi artikel ini