Tonton Sambil Mandi, Tempat Duduk Penyokong SMZA Bertukar Jadi Kolam Renang

Tempat duduk penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) di Gong Badak telah bertukar menjadi kolam renang selepas hujan lebat turun pada malam tadi.

Perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) membabitkan pasukan tuan rumah, Terengganu FC menentang Negeri Sembilan FC terpaksa dihentikan pengadil perlawanan susulan hujan lebat pada malam tadi.

Baru berlangsung selama 14 minit, pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin terpaksa mengambil keputusan menghentikan perlawanan selepas hujan lebat disusuli kilat dianggap boleh mendatangkan bahaya kepada pemain yang beraksi di tengah padang.

Hujan lebat yang melanda bagaimana pun tidak menghalang hampir 2,000 penonton setia skuad Penyu yang hadir untuk berganjak daripada tempat duduk masing-masing.

Selepas itu tular beberapa rakaman foto dan video menunjukkan bagaimana bahagian laluan berjalan kaki dibanjiri air, sehingga menengelamkan sebahagian tempat duduk penyokong.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dianggap sebagai antara stadium yang memiliki padang bola sepak terbaik di negara ini selepas dinaik taraf kira-kira dua tahun lalu.

Jika stadium lain sentiasa memiliki isu kualiti padang setiap kali hujan lebat melanda, perkara sebaliknya berlaku di stadium tersebut apabila tempat duduk penyokong yang terkesan.

Selepas ditangguhkan seketika, perlawanan di antara kedua-dua pasukan bagaimana pun disambung oleh pengadil perlawanan.

Terengganu FC nyata gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan pada malam tadi.

Kongsi artikel ini