Tolak Tawaran Sertai Panathinaikos, Kenyataan Terkini Jordi Amat Kaitkan Dirinya Dengan JDT

Pemain naturalisasi terbaru Indonesia, Jordi Amat dilaporkan telah menolak untuk menyertai Panathinaikos di Liga Greece.

Perkara itu disahkan oleh Alex Talpes baru-baru ini kepada portal Bola Sport. Alex Talpes adalah ejen kepada pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani yang merupakan kenalan kepada ejen Jordi Amat, dikenali sebagai Jose.

Menurut apa yang dikatakan Jose kepada Alex Talpes, kelab Greece itu tidak dapat memenuhi gaji yang dipinta oleh Jordi.

Malah pemain pertahanan itu sendiri dikatakan tidak berminat untuk melanjutkan kariernya di Greece buat masa ini.

Bakal diumumkan sebagai pemain JDT

Selepas mengesahkan melepaskan Mauricio Santos sebentar tadi, adakah JDT kini beralih kepada Jordi Amat untuk mengisi kekosongan slot import pasukan itu musim ini?

Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia sudah pun ditutup beberapa hari yang lalu. Sehingga kini belum ada lagi sebarang pengumuman pengambilan pemain baharu oleh JDT – walaupun mengesahkan akan mengambil dua tenaga import dan dua pemain tempatan sebelum ini.

Bagaimanapun tidak mustahil nama Jordi Amat telah didaftarkan sebagai pemain import terbaru Harimau Selatan ketika jendela perpindahan masih dibuka oleh Malaysian Football League (MFL) sebelum ini, dan kelab menantikan masa yang sesuai untuk mengumumkannya.

Besar kemungkinan juga Jordi Amat hanya direkrut oleh JDT untuk memperkuatkan lagi bahagian pertahanan untuk menghadapi kempen AFC Champions League yang memasuki pusingan kalah mati pada Ogos hadapan, sebelum didaftarkan untuk saingan Liga Malaysia musim akan datang.

Mahu beraksi di Asia Tenggara?

Perkongsian terbaru pemain itu baru-baru ini di Instagram menimbulkan tanda tanya kelab manakah yang bakal disertainya dalam masa terdekat.

Pemain itu kini berstatus ejen bebas setelah kontraknya bersama kelab Belgium, KAS Eupen tamat selepas kempen musim lalu berakhir.

Kenyataan terbarunya melalui IG Story pula seperti membayangkan dirinya akan menyertai salah sebuah kelab di Asia – walaupun tidak merujuk khusus kepada JDT.

“Banyak orang yang mengirimi saya pesan untuk kekal di Eropah. Saya telah bermain di Eropah sepanjang karier saya. Ada beberapa liga terbaik di dunia, itu benar,” tulisnya di Instagram Stories.

“Anda sebagai orang Asia harus bangga dengan apa yang Anda lakukan di Asia. Ada tim hebat, liga hebat, dan bola sepak berkembang sangat cepat di sana,” tambahnya lagi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Jordi Amat (@jordiamat5)

Kenyataan tersebut adalah respon Jordi Amat kepada netizen di Indonesia yang mahukan beliau untuk terus kekal beraksi di Eropah.

Adakah Jordi Amat bakal menjadi anggota terbaru skuad kendalian Benjamin Mora? Secara logik, JDT adalah kelab yang memiliki profil paling sesuai untuk Jordi Amat buat masa ini.

Kongsi artikel ini