TMJ Tidak Mahu JDT Jadi ‘Retirement Club’ Dan Syarat Untuk Papu Gomez

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Tunku Mahkota Johor (TMJ) menegaskan beliau tidak mahu pasukan itu menjadi destinasi akhir atau ‘retirement club’ semata-mata untuk mendapatkan pemain berstatus bintang dunia.

TMJ berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang penyokong mengenai perancangan membawa pemain berstatus bintang sebagai pemain import juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut itu dan khabar angin yang mengaitkan kelab itu dengan bekas bintang Jerman, Mesut Ozil.

Mesut Ozil tiada dalam perancangan

Mesut Ozil menjadi nama baru yang tiba tiba dikaitkan dengan JDT selepas pemain itu hanya menandatangani kontrak setahun dengan Istanbul Basaksehir sebaik sahaja kontraknya ditamatkan Fenerbahce beberapa bulan lalu.

TMJ bagaimanapun menafikan terdapat sebarang perancangan membawa Ozil ke Stadium Sultan Ibrahim dalam masa terdekat dan turut hairan bagaimana khabar angin sedemikian boleh wujud.

“Saya tak nak habiskan duit bayar gaji begitu mahal untuk pemain tak nak lari defends tiga meter.

“Di Johor [DT] tiada super star. Di Johor ada pemain pemain yang memberikan komitmen yang sanggup mati antara satu sama lain. Komited untuk menyerang. Komited untuk bertahan sebagai satu unit,” kata TMJ.

“Tetapi Mesut Ozil tak pernah ada dalam perancangan saya kerana… kalau dia bagus sangat [pada masa ini] kerana kelab kat sana [eropah] tak ada satu pun nak ambik dia.”

“Mungkin ada masalah peribadi. Kita tak tahu.”

“Mungkin dari segi attitude [perangai], kita tak tahu.”

“Saya tak nak memburukkan siapa siapa kerana saya tak kenal dia.”

“Tetapi benda bendan macam itu, kita harus ambil menjadi faktor untuk membuat penilaian, kenapa tak ada kelab mahukan dia?”

“Takkan kita nak terima kerana semata mata mahukan nama besar sahaja dalam JDT.”

“Di JDT ni saya nak hasil, saya nakkan kejayaan. Bukan jadi populis.”

Syarat untuk Papu Gomez

Bagaimanapun TMJ tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan penyerang Sevilla, Papu Gomez untuk saingan pada musim hadapan sekiranya pemain itu boleh memenuhi syarat yang dipinta oleh pihak kelab.

Antara syarat yang digariskan oleh TMJ adalah berkaitan kemampuan kewangan kelab dan kesanggupan pemain itu sendiri untuk beraksi bersama JDT.

Perkhabaran Gomez akan ke JDT pada musim hadapan bermula pada Ogos lalu selepas ciapan yang dilakukan TMJ di Twitter ketika membalas persoalan penulis Goal Indonesia, Marco Negeri untuk membawa kembali bekas pemain import, Juan Martin Lucero.

“Saya tidak pasti. Atau mungkin Papu Gomez dari Sevilla. Anda tidak akan tahu [apa akan berlaku]. Sememangnya sudah ada perancangan dilakukan untuk memperkuatkan skuad musim hadapan. Kita akan lihat,” tulis TMJ pada ketika itu.

Walaupun sudah berusia 34 tahun Papu Gomez merupakan salah seorang pemain bola sepak yang memiliki reputasi besar di Eropah, terutamanya di Itali.

Merupakan bekas kapten Atalanta, Gomez dianggap legenda yang membantu membangkitkan kelab itu sehingga berada di kelompok atasan Serie A seperti pada hari ini.

Gomez juga turut memiliki 14 caps bersama negaranya, dan merupakan anggota skuad Argentina yang menjuarai Copa America pada tahun lalu.

Buat masa ini, penyerang Sevilla itu kini sedang memberi fokus untuk membantu kelab Sepanyol itu menghadapi musim La Liga yang baharu, tetapi merupakan salah seorang daripada dua pemain termasuk Fernando Reges yang dikecualikan oleh pengurus pasukan, Julian Lopetegui daripada mengikuti penuh latihan pra musim disebabkan faktor usia kedua-dua pemain.

Kontrak Gomez bersama Sevilla juga hanya akan tamat pada 30 Jun 2024. Sehingga itu, atau hanya dengan penebusan kontrak, Papu Gomez masih kekal pemain Sevilla.

Kongsi artikel ini