Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hari ini secara terbuka membidas tindakan persatuan dan pasukan Liga Malaysia yang beria-ia mahu memotong gaji pemain disebabkan oleh penularan COVID-19, tetapi culas melunaskan tunggakan gaji bulan-bulan sebelumnya.
Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) melalui satu ketetapan setelah mesyuarat menyatakan pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum pandemik ini bermula WAJIB menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu tanpa sebarang perdebatan mengenainya.
Syarat tersebut adalah salah satu dari dua syarat oleh PFAM untuk menerima persetujuan pemotongan gaji oleh persatuan-persatuan yang ingin berbuat demikian.
Kebanyakan pemain di dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan…
Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, April 13, 2020
Manakala untuk syarat kedua, PFAM mewajibkan rundingan dan persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain (case by case), dan bukannya dilakukan secara pukul rata.
Syarat yang diletakkan PFAM ini jika dilihat amat mudah difahami, terutamanya bertujuan untuk melindungi kebajikan pemain.
Namun perkara ini mendapat reaksi berbeza dari pelbagai pihak. Datuk Yusoff Mahadi, yang juga merupakan Timbalan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) misalnya berpendapat syarat wajib itu tidak perlu.
KONTRAK PEMAIN: KEADILAN SEBAGAI JUARA1. Semua telah maklum, pandemik COVID-19 adalah merupakan 'the unprecedented…
Posted by PFA Malaysia on Saturday, April 11, 2020
Bagi Tunku Ismail, isu sebenarnya ialah bukan pemain tidak mahu memberikan kerjasama kepada kelab dan pasukan untuk gaji mereka dipotong.
Tetapi situasi keseluruhan seolah-olah pasukan cuba mengambil kesempatan ke atas isu COVID-19 yang sedang melanda.
“Kebanyakan pemain di dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan oleh pandemik Covid-19. Tetapi sebelum pasukan memotong gaji tersebut, pastikan bahawa kelab atau pasukan yang berhutang dengan pemain menyelesaikan hutang tersebut dengan pemain terlebih dahulu,” ujar baginda dalam kenyataan tersebut.
“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji.
Datuk Yusoff Mahadi ada pandangan beliau tersendiri. Tetapi kan Datuk, kalau betul semua pihak ada komitmen, tunggakan gaji pun tak akan wujud tau.
Posted by Grandstand KITA on Sunday, April 12, 2020
“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.
“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka.”
Bagi Tunku Ismail tidak mungkin pasukan-pasukan yang dinamakan di atas masih mempunyai isu untuk membayar gaji. Apatah lagi kebanyakan pasukan memperolehi peruntukan daripada kerajaan negeri masing-masing.
“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri,” tambah baginda lagi.