TMJ Masih Pemilik Kelab JDT – Alistair Edwards

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah berundur serta tidak akan lagi terlibat di dalam sebarang pengurusan kelab Johor Darul Ta’zim atas faktor komitmen dan perkara-perkara lain yang perlu diutamakan oleh baginda.

Perkara berkenaan sedikit sebanyak menjadi tanda tanya di kalangan para penyokong Tunku Mahkota Johor yang berasa amat terkejut dan sedih dengan pengumuman itu.

Bagaimanapun menerusi kenyataan daripada Pengarah Teknikal JDT FC Alistair Edwards yang disiarkan menerusi media sosial rasmi facebook dan twitter kelab berkenaan , baginda masih kekal lagi sebagai pemilik kelab yang mempunyai majoriti saham dan akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersil dan kewangan kelab.

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kekal sebagai pemilik kelab dengan memegang saham majoriti. DYAM Tunku Ismail akan melepaskan tugas Baginda berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada Pengurusan JDT, namun akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersil dan kewangan kelab.”

 

“Apa yang dimaksudkan ini adalah DYAM Tunku Mahkota Johor tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya — yang mana menjadi sebahagian daripada tugas DYAM Tunku Ismail di kelab sebelum ini. Perkembangan terbaru ini juga bermakna Baginda tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan, sesuatu yang Baginda sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung.”
“DYAM Tunku Mahkota Johor telah terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan JDT sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013 termasuk memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab.”
“Kami memahami bahawa Baginda perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan Negeri dan Pengurusan JDT terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini.”
Alistair Edwards, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim
Pengunduran TMJ daripada suasana bola sepak tempatan mungkin memberikan kesan kepada sudut pandangan dan kritikan daripada suara lantang baginda demi kemajuan bola sepak Malaysia khususnya.

 

Kongsi artikel ini