TMJ Kongsi Bagaimana ‘Man Management Di JDT, Dedah Gaji Arif Aiman RM11K Sahaja

Muncul penjaring hatrik termuda buat JDT ketika perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Penang FC baru-baru ini adalah antara pencapaian luar biasa Arif Aiman pada musim ini.

Turut tampil sebagai pemain termuda JDT melakukan debut kompetitif pada usia 17 tahun dalam perlawanan menentang Felda United di dalam saingan Liga Super Malaysia 14 Mac 2020, pemain muda ini kini merupakan aset penting JDT dan skuad Harimau Malaya.

Pada ketika itu, Arif Aiman dimasukkan pada minit ke-85 perlawanan. Walaupun beraksi hanya selama lima minit sahaja, tempoh tersebut cukup untuk terus memikat semua pemerhati bola sepak Malaysia dengan aksi bersahajanya mengucar-kacirkan benteng pelawat disamping membentuk kombinasi baik bersama Corbin Ong di bahagian sisi kiri JDT.

Gol senior pertama pemain ini di peringkat senior bersama JDT hadir dalam perlawanan menentang Kuching FA di saingan Piala Malaysia pada musim yang sama.

Pada perlawanan tersebut, Arif Aiman  muncul wira pasukan, apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-19 selepas menolak masuk bola tampanan Diogo Luis Santo dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Iqbal Suhimi.

Hasil ‘man-management’ TMJ

Ketua jurulatih JDT pada ketika itu, Benjamin Mora menyifatkan Arif sebagai ‘revolusi’ daripada skuad Harimau Selatan.

Pada mulanya agak sukar untuk menterjemahkan maksud ‘revolusi’ yang dimaksudkan oleh Mora. Ini kerana sejak beberapa musim yang lalu pun, JDT secara berterusan menampilkan dominasi di dalam kancah bola sepak negara.

Pada awal pagi tadi, pencerahan oleh pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sedikit sebanyak  menjelaskan ‘revolusi’ yang dimaksudkan.

 

Ia sebenarnya adalah berkaitan bagaimana oleh kelab itu diurus dari peringkat tertinggi pengurusan pasukan oleh TMJ sendiri sehinggalah ke bilik persalinan.

Sambil berkongsi kata-kata yang pernah dikongsi oleh Vicente del Bosque ketika membawa Sepanyol muncul juara Piala Dunia, TMJ berkongsi tatacara pengurusan pemain yang betil di JDT.

“Man Management. Ini adalah benda paling mustahak di dalam kelab bola sepak. Dressing room energy. Buatlah apa pun jikalau 30 pemain tak nak berlari atau bersungguh-sungguh, kita tidak akan dapat result,” kata TMJ.

TMJ juga mendedahkan peranan yang dimainkannya untuk menentukan pemain mana yang dibawa masuk ke dalam pasukan. Ini termasuklah barisan pemain import, tempatan, dan pemain dari akademi.

TMJ dedah gaji Arif Aiman

Semua pemain harus sesuai dengan falsafah kelab dan corak permainan yang diterapkan pasukan. TMJ turut membuktikan tidak semestinya pemain yang berpendapatan lumayan mampu menampilkan prestasi yang diharapkan. Begitu juga sebaliknya.

“Saya kenal pasti setiap pemain. Daripada akademi sehingga ke 1st team. Saya juga yang membuat keputusan mengenai kontrak pemain.

“Tahukah anda berapa gaji Arif Aiman tahun lepas? (RM) 11 ribu sahaja. Tetapi main sungguh-sungguh.

“Kenapa? Kerana macam mana saya jaga setiap pemain. Contoh bonus, bonus akan diberi kepada setiap pemain yang memberi 100% ketika latihan dan perlawanan,” jelas TMJ lebih lanjut mengenai pendekatan di JDT.

Sebenarnya perkongsian mengenai gaji Arif Aiman agak mengejutkan kerana ia jauh lebih kecil daripada yang disangka ramai.

Menurut sumber video Koppa yang dimuatnaik pada 5 Februari 2019, kadar gaji pemain tempatan di Malaysia pada ketika ini adalah dalam lingkungan RM10,000 hingga RM80,000 sebulan. Pemain yang tidak ternama atau kurang dapat peluang beraksi pula mungkin dengan nilai minimum RM5,000.

Pemain yang kerap dipilih mewakili skuad Harimau Malaya akan dibayar nilai gaji paling tinggi di kalangan pemain tempatan. Baddrol Bakhtiar seperti contoh, dilaporkan menikmati gaji RM77,000 pada musim 2018.

Pemain bertaraf skuaf kebangsaan biasanya menerima RM50,000 sebulan ke atas.

Kongsi artikel ini