TMJ Cadang SNBJ Guna Penutup Padang Jika ‘Drainage System’ Mahal Sangat

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menyarankan agar pihak pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menggunakan penutup padang sekiranya berpendapat membina sistem perparitan atau ‘drainage system’ terlalu mahal.

Permukaan padang SNBJ sekali lagi mendapat perhatian melibatkan perlawanan di antara Malaysia dan Bahrain pada malam tadi.

Semua sedia maklum, padang SNBJ sememangnya tidak berada di tahap terbaik selama ini.

Perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang diadakan secara berpusat di sebuah stadium, diikuti hujan lebat yang turut selama beberapa jam sebelum sepak mula menyebabkan keadaan padang menjadi semakin buruk.

Kerana itu, TMJ menyarankan pihak pengurusan SNBJ menggunakan penutup padang yang seperti kanvas untuk menutup permukaan padang sekiranya berlaku hujan lebat.

Ia sekurang-kurangnya mampu mengelak sebahagian besar padang menjadi semakin lembut dan becak akibat hujan lebat.

Menggunakan penutup padang sebenarnya sudah digunakan oleh JDT untuk padang kelab itu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos sejak 2018 lagi.

Idea tersebut walaupun bukan penyelesaian jangka masa panjang buat SNBJ, ia sekurang-kurangnya mampu mengelak padang daripada rosak teruk sekaligus membenarkan perlawanan untuk berjalan lebih lancar.

Semalam tular di media sosial bagaimana pekerja stadium menggunakan kadbod dan penyodok sampah untuk mengeluarkan air yang bertakung di atas padang sebelum sepak mula perlawanan.

Situasi tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku di stadium bertaraf ‘nasional’ dan telah menggunakan perbelanjaan yang banyak.

Kongsi artikel ini